suria

Kerajaan Peruntuk RM300,00 Bagi Imarahkan Masjid, Surau Di Galas

GUA MUSANG: Kerajaan memperuntukkan lebih RM300,000 bagi menjalankan pelbagai program dalam usaha mengimarahkan lima masjid dan 27 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Anggota DUN (ADUN) Galas Abdul Aziz Yusoff berkata ia susulan janji beliau pada pilihan raya kecil 4 Nov lepas bagi menjadikan masjid sebagai tempat mengembangkan syiar Islam di kalangan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap sumbangan yang disalurkan digunakan dengan baik, selain mengatur pelbagai program berdasarkan persetujuan anggota jawatankuasa masjid dan surau terbabit. Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Masjid Kampung Lepan Jaya dekat sini, Sabtu.

Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, berkata beliau tidak mahu peruntukan itu digunakan bagi tujuan lain, termasuk membaiki kemudahan.

"Ini kerana peruntukan yang disediakan itu khusus bagi menjalankan pelbagai program untuk mengimarahkan masjid, termasuk kursus fardhu ain, pertandingan membaca Al-Quran atau kursus pengurusan jenazah," katanya.

Beliau berkata sumbangan itu juga bukan bertujuan menonjolkan kemegahannya selepas memenangi kerusi DUN Galas dan mampu berbuat apa sahaja bagi faedah penduduk.

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata ia bagi mengembangkan syiar Islam sesuai dengan fungsi masjid sebagai tempat beribadah kepada Allah dan mengerjakan amalan yang dituntut agama sepanjang masa.

"Kita perlu buktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai program untuk mengimarahkan masjid, dan kita mampu melaksanakannya sebagai yang saya janjikan sebelum ini.

"Nampaknya, penduduk menerima perkara itu dengan hati terbuka kerana akan membawa banyak kebaikan kepada penduduk tempatan, terutama menarik generasi muda ke masjid dan surau," katanya.

Beliau juga berjanji terus memantau setiap perkembangan program di masjid dan surau terbabit supaya penduduk dapat berkumpul serta menimba lebih banyak ilmu keagamaan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain