suria

Pemimpin Parti Politik Minta Rakyat Tingkatkan Semangat Muhibbah

KUALA LUMPUR: Sempena perayaan Krismas yang disambut Sabtu, para pemimpin parti politik dan negara menyeru agar rakyat terus menjalin hubungan yang mesra serta meningkatkan semangat muhibah di antara satu sama lain bagi memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata walaupun rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum yang menganuti agama yang berbeza, menjadi satu keunikan bagi rakyat Malaysia untuk sama-sama meraikan hari kebesaran sesuatu kaum melalui rumah terbuka.

"Saya dan Tun Jeanne Abdullah mengucapkan selamat menyambut hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian," katanya dalam perutusan hari Krismas di sini, Jumaat.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggesa sektor awam dan swasta supaya mengadakan perhimpunan Krismas 1Malaysia untuk lebih memperkukuhkan maksud kepelbagaian budaya.

"Sambil kita menyambut perayaan ini, kita mesti mengakui hakikat bahawa kesemua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa usaha bersepadu daripada rakyat Malaysia dalam melaksanakan kawalan diri, toleransi dan muhibah.

"Kita juga harus mengimbas semula peristiwa yang berlaku sejak 12 bulan lepas di mana kita telah menyaksikan kerajaan melaksanakan inisiatif untuk membawa persekitaran yang lebih saksama bagi semua," kata beliau dalam perutusan Krismas beliau.

Dr Chua berkata semua rakyat Malaysia perlu terus berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik dengan berganding tangan dan mengekalkan sebuah negara yang aman tanpa diganggu-gugat oleh sifat taksub dan berprasangka.

Beliau berkata dalam semangat tradisi Malaysia, adalah elok untuk mengadakan rumah terbuka dan menjemput semua rakan serta taulan daripada kaum lain berkunjung ke rumah supaya mereka dapat turut sama bergembira bersama-sama keluarga.

Setiausaha agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha menggesa rakyat negara ini agar menjalin semangat saling menghormati, persefahaman dan penerimaan dalam kalangan kaum di negara ini ke arah memastikan Malaysia kekal stabil serta makmur.

Dalam perutusan Krismasnya, beliau berkata Krismas dan perayaan lain terbukti berkesan dalam menjalin semangat perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat Malaysia dan hanya menerusi perayaan seperti itu rakyat Malaysia berpeluang untuk benar-beanr menghargai dan memahami perbezaan budaya satu sama lain.

"Keunikan perayaan ini ialah rakyat akan mengetepikan apa jua perbezaan dan bersatu padu sebagai 1Malaysia. Malaysia telah berjaya dalam menguruskan hubungan kaumnya sejak merdeka hanya disebabkan kita (rakyat Malaysia) menyedari bahawa kita saling memerlukan untuk kelangsungan hidup," katanya.

Rakyat Malaysia dapat meraikan Krismas dengan girang dan dalam keadaan aman disebabkan pelbagai lapisan masyarakat bersatu dalam semangat 1Malaysia, katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga harus berwaspada terhadap anasir luaran yang berusaha memecah-belah hubungan kukuh antara pelbagai kaum dan agama dengan bertopengkan hak asasi manusia serta demokrasi.

Sempena musim perayaan ini, Kong, yang juga Menteri Pengangkutan, menggesa semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan pemanduan berhemah pada setiap masa.

"Kita sayangkan Malaysia, keluarga dan rakan kita, ini semestinyalah termasuk ketika kita berada di jalan raya, bersikap timbang rasa dan memahami sesama warga Malaysia merupakan nilai murni yang harus kita miliki sebagai tanda sayang kita kepada negara ini.

"Ini sekali lagi termasuk rasa sayang kita kepada pengguna jalan raya yang lain, dengan mengurangkan konflik, kurangkan risiko kemalangan dan kurangkan tekanan di jalan raya, kita semua dapat bersama-sama sampai ke destinasi dengan lebih pantas dan selamat," katanya.

Presiden MIC Datuk G.Palanivel turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru kepada semua masyarakat Malaysia.

"Saya berharap dan berdoa agar perayaan ini akan membawa kegembiraan, kebahagiaan, keamanan dan kesepakatan kepada semua warga Malaysia. Dalam semangat sebenar perayaan, moga-moga kita semua dianugerahi kegembiraan dan keriangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain