suria

Operasi Di Loji Aromatik Petronas Dihentikan Akibat Kebakaran

KUALA TERENGGANU: Operasi di loji aromatik, Kompleks Petrokimia Bersepadu Petronas di Kerteh dihentikan sementara berikutan kebakaran yang berlaku di loji itu pada kira-kira 11.35 malam Jumaat.

Bagaimanapun, kebakaran itu dipadamkan sejurus kemudian oleh Pasukan Respons Kecemasan kompleks itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, menurut kenyataan Petronas Chemicals Group Berhad yang dikeluarkan Sabtu.

"Tiada sebarang kecederaan dalam kejadian kebakaran itu dan sebagai langkah keselamatan, operasi di loji itu dihentikan sementara," menurut kenyataan itu.

Selain daripada loji aromatik, operasi di kemudahan-kemudahan lain di dalam kompleks itu tidak terjejas.

Menurut kenyataan itu, semua pihak berkuasa relevan telah dimaklumkan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kebakaran dan menilai tahap kerosakan dalam kejadian itu.-BERNAMA

Artikel Lain