suria

Kesederhanaan Amalan Agama Kunci Keharmonian Dan Keamanan Negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kesederhanaan dalam mengamalkan ajaran agama sama ada yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh selama ini menjadi kunci kepada keamanan dan keharmonian negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan mengamalkan sikap yang sederhana, rakyat akan sentiasa rasional dan tidak mudah dipengaruhi oleh emosi ketika melalui detik-detik sukar dalam hubungan antara agama.

"Sempena sambutan perayaan Krismas pada tahun ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat Kristian di Malaysia yang sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam mengamalkan ajaran agama.

"Sikap kesederhanaan dalam amalan agama adalah benteng utama yang boleh membendung gejala ekstremisme dalam mana-mana agama," katanya dalam perutusan Krismas di sini, Jumaat.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar meneruskan sikap yang sederhana dalam mengamalkan kepercayaan agama, di samping menerima perbezaan dengan hati yang terbuka sekali gus menyuburkan semangat perpaduan yang telah sekian lama dibina.

Sambil mengucapkan selamat Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian, Muhyiddin mengajak seluruh rakyat agar saling menghormati antara satu sama lain kerana dalam sebuah masyarakat berbilang agama, menghormati perbezaan kepercayaan agama adalah prasyarat utama kehidupan yang harmoni.

"Adalah suatu kebiasaan bagi kita untuk menjalin persahabatan dengan rakan-rakan daripada kaum dan agama yang berbeza. Malah, kita juga tidak kekok untuk mengunjungi sahabat-handai yang berlainan agama dengan menghadiri rumah-rumah terbuka yang diadakan sempena sambutan perayaan keagamaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata keharmonian hubungan kaum dan agama adalah nikmat paling berharga yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Dengan wujudnya hubungan yang harmoni antara individu dan masyarakat berlainan agama, kita dapat mengekalkan keamanan negara dan berusaha dengan lebih gigih untuk mencipta kemakmuran bersama.

"Suasana yang harmoni ini perlu sentiasa dipelihara supaya kita boleh kekal hidup aman dan damai dalam keluarga besar Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain