suria

Kadar Jenayah Menurun Legakan Rakyat

KUALA LUMPUR: Langkah dan pendekatan di luar kotak di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan menjadi penggerak kepada penurunan kadar jenayah jalanan dan jenayah keseluruhan pada tempoh lapan bulan pertama 2010.

Inisiatif NKRA, yang berjaya membawa penurunan 16.24 peratus jenayah keseluruhan dan 37 peratus jenayah jalanan dari Januari hingga Ogos tahun ini, ternyata melegakan rakyat.

Penugasan semula 6,751 anggota polis daripada tugas pentadbiran kepada tugas utama iaitu rondaan dan menjaga keselamatan, menempatkan van dan bas mini sebagai balai polis bergerak meningkatkan keyakinan rasa selamat rakyat.

Ini memberi petanda bahawa matlamat penurunan jenayah jalanan kepada 20 peratus dan 5 peratus jenayah keseluruhan pada tahun ini di dalam NKRA akan mencapai sasarannya.

Kajian TNS Research International, sebuah kumpulan penyelidik pasaran antarabangsa, menunjukkan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kemungkinan menjadi mangsa jenayah terutama jenayah kekerasan seperti rogol, bunuh serta samun menurun daripada 58.5 peratus pada Disember tahun lepas kepada 55.1 peratus pada Mei tahun ini.

Namun statistik dan kaji selidik itu mendapati jenayah di Malaysia terutama kes bunuh dilihat semakin ganas dan tindakan pelaku jenayah kini semakin tidak berperikemanusiaan.

Kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga individu lain yang dipukul dan dibunuh sebelum mayatnya dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Banting antara bukti kekejaman manusia di luar jangkauan perikemanusiaan.

Siasatan kes pembunuhan Sosilawati, menjadi cabaran pertama Tan Sri Ismail Omar yang baru dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru pada 13 Sept menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tidak disambung kontraknya.

Ismail,57, memikul tugas berat terutama membuang persepsi negatif masyarakat terhadap polis selama ini terutama yang mengaitkan pasukan itu dengan rasuah, salah guna kuasa dan kelemahan-kelemahan lain.

Antara kes yang paling mencabar kreadibiliti dan imej polis, kes Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11, Shah Alam dan tindakan polis menembak mati tiga anggota "Geng Minyak" di Glenmarie, Shah Alam pada November lepas yang dipertikaikan pihak pembangkang.

Kes itu mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama tentang prosedur polis ketika melepaskan tembakan sehingga ada yang melabelkan pasukan itu "Trigger Happy", sewenang-wenangnya melepaskan tembakan.

Sebaliknya, usaha dan kejayaan polis memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan selamat daripada anasir berbahaya termasuk keganasan dan ekstremis Jemaah Islamiah (JI) tidak boleh dinafikan.

Ini termasuklah penahanan 10 individu termasuk seorang warga tempatan kerana terbabit dalam kumpulan ekstremis JI pada awal tahun ini serta penghantaran pulang pemimpin JI Mas Selamat Kastari ke negaranya, Singapura, pada September lepas.

Kemasukan dadah ke negara ini menerusi warga asing sebagai keldai dadah dilihat semakin membimbangkan, namun usaha agresif Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya mengekang kemasukan membawa kepada penahanan 382 rakyat asing sejak Januari hingga September tahun ini.

Warga Iran dilihat mendominasi kegiatan itu apabila mereka ditahan membawa dadah terutamanya jenis syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Usaha berterusan Malaysia menangani isu penyeludupan dan pemerdagangan orang mendapat pengiktirafan banyak negara luar termasuk Australia dan Amerika Syarikat.

Berdasarkan Laporan Pemerdangan Manusia (TIP) 2010 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, Malaysia kini berada pada Tahap Dua berbanding Tahap Tiga pada laporan yang sama tahun lepas di atas usaha-usaha dilakukan bagi mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Keseriusan pihak berkuasa Malaysia menangani isu itu turut dibuktikan dengan penahanan tujuh petugas Jabatan Imigresen Malaysia di bawah ISA setelah disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Bagi membanteras gejala rasuah, pelbagai usaha dilakukan termasuk mengumumkan nama mereka yang melakukan kesalahan rasuah, menyediakan garis panduan berhubung surat sokongan, mengumumkan pemerolehan kontrak kerajaan, memberi perlindungan kepada pemberi maklumat, menyelesaikan kes rasuah dalam tempoh setahun dan melakukan pertukaran tempat kerja dalam kalangan penjawat awam.

Kaji selidik pendapat awam, Barometer Rasuah Global 2010 (GCB) sedunia, menunjukkan perubahan positif berhubung tindakan kerajaan dalam memerangi rasuah dengan hampir dua kali ganda tahun ini.

Presiden Persatuan bagi Integriti dan Ketelusan Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan berkata kaji selidik itu menunjukkan 48 peratus responden percaya bahawa tindakan kerajaan memerangi rasuah sangat berkesan berbanding 28 peratus tahun lepas. Peranan media juga dilihat semakin penting dalam usaha membanteras rasuah.

"Pengamal media mempunyai pengaruh dan kemampuan untuk mengisi minda rakyat dengan keupayaan mereka meletakkan dan menilai kerajaan, termasuk dalam NKRA mengenai rasuah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

Pengamal media mampu 'mendesak' kerajaan menggubal dasar baru bagi membantu golongan yang ditindas serta teraniaya akibat gejala rasuah.

"Sebagai kerajaan, kita juga mempunyai amanah dan tanggungjawab kepada setiap lapisan masyarakat, perkara ini akan berkesan jika media sebagai 'watchdog', menyalurkan maklumat yang betul, adil dan tepat untuk pengetahuan umum dan mencorakkan berita mengikut keadaan dengan mengambil kesan ke atas masyarakat dan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain