suria

Pusat Hiburan Diserbu Kali Ke-22, 24 GRO Ditahan

GEORGE TOWN: Polis menahan 23 pelayan pelanggan (GRO) warga China dan seorang warga Vietnam dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini malam tadi.

Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pusat hiburan itu jelas tidak serik-serik menjalankan kegiatan tidak bermoral walaupun sudah 21 kali diserbu polis tahun ini.

Beliau berkata, dalam serbuan Ops Noda pada kira-kira pukul 11 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga pusat hiburan berkenaan.

Katanya, semua mereka yang dipercayai tidak mempunyai permit kerja yang sah di samping menyalahguna pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Menurutnya, semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Gan berkata pemilik premis itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain