suria

Operasi Cari Tekong Yang Hilang Selepas Bot Karam Bersambung Sabtu

TUMPAT: Operasi mencari seorang tekong bot warga Thailand yang hilang selepas botnya karam di Sungai Golok dekat sini pada Khamis, akan bersambung Sabtu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Abdul Manaf Jaafar berkata operasi mencari tekong yang berusia 30-an itu hentikan lewat petang ini kerana keadaan sudah gelap.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam beberapa penduduk tempatan berjaya menyelamatkan tujuh penumpang bot itu semasa ia karam, manakala tekongnya dikatakan tenggelam bersama bot.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata antara penumpang bot yang berjaya diselamatkan ialah seorang warga emas dan dua kanak-kanak, dan menurutnya kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerosakan enjin dan kebocoran bot.

Beliau berkata lima anggota dari unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Negeri dan 18 anggota dari Balai Bomba Pengkalan Kubor dan Darul Naim dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.13 petang semalam.

Abdul Manaf berkata bot itu berjaya ditemui semalam kira-kira 25 meter dari tempat ia dikatakan karam, namun tekong itu masih tidak dapat dikesan.

"Operasi sukar dijalankan kerana air sungai terlalu deras, dan ada kemungkinan tekong itu dihanyutkan jauh dari tempat kejadian," katanya.

Sementara itu seorang saksi kejadian, Yusof Ahmad, 51, dari Kampung Tualang, Simpangan, dekat sini berkata beliau yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan minta tolong, hanya sempat menyelamatkan tujuh penumpang bot itu, manakala tekong itu dilihat tenggelam bersama botnya.

Beliau berkata tekong warga Thailand itu bekerja membawa penumpang dengan menggunakan bot enjin galah ke Pengkalan Tualang, Simpangan, dari tebing sempadan Thailand.

Katanya beliau percaya kejadian itu berpunca daripada kerosakan enjin bot itu, dan bot berkenaan juga dipercayai bocor semasa berada di tengah sungai. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain