suria

MAS Dan AirAsia Perlu Rumus Formula 'Menang Menang' Untuk Kerjasama Strategik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Malaysian Airlines (MAS) dan AirAsia perlu merumuskan satu formula yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak dalam kemungkinan memulakan kerjasama strategik supaya kedua-dua syarikat penerbangan itu dapat bersaing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MAS dan AirAsia perlu memulakan kerjasama strategik walaupun mereka adalah dua syarikat penerbangan yang bersaing khususnya dalam soal tambang murah dan tambang sederhana.

Bagaimanapun beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pengurusan kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan.

Ini kerana kami faham ini merupakan satu bentuk perniagaan dan elemen persaingan yang sihat amat kita galakkan, kata beliau pada sidang media selepas pelancaran rasmi "Teach for Malaysia" di sini.

Muhyiddin berkata antara kemungkinan perkara yang perlu dibincangkan adalah berkaitan laluan dan jika perkara itu dapat dirunding, beliau yakin syarikat-syarikat penerbangan Malaysia mampu ke hadapan dan yang penting mereka harus berdaya saing.

Mengenai isu pembangunan nuklear, beliau menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan dan program itu bukan untuk dilaksanakan serta-merta.

Kami akan mengambil pandangan daripada banyak pihak kerana kami sedar ini merupakan inisiatif baru dan kita mungkin perlu mendalami lebih dekat lagi berdasarkan pengalaman negara-negara yang telah berjaya memulakan projek sebegini, jelas beliau.

Mengenai pelancaran Teach for Malaysia hari ini, Muhyiddin berkata program itu berasaskan konsep mengajar sambil berbakti yang dipelopori oleh rangkaian Global Teach for All yang memberi peluang kepada para graduan yang cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruaan selepas menamatkan pengajian di universiti.

Penempatan peserta "Mengajar Untuk Malaysia" di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi akan bermula pada Januari 2012.

Kita pastinya berasa lebih bangga kerana Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas India dan China yang telah berjaya melaksanakan inisiatif penting ini, kata beliau.

Menurut Muhyiddin, fokus utama program ini adalah untuk membekalkan guru yang berkualiti kepada sekolah-sekolah berpencapaian rendah, berkait rapat dengan dasar di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh yang bertujuan untuk membangunkan modal insan berkualiti. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain