suria

Malaysia, Singapura Sambung Perbincangan Isu dua Hala

KUALA LUMPUR: Para pegawai kanan dari Malaysia dan Singapura menamatkan mesyuarat dua hari Pasukan Pelaksanaan Bersama Malaysia-Singapura (MSJIT) di sini pada Khamis.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman mengetuai delegasi Malaysia manakala Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Bilahari Kausikan.

Menurut satu kenyataan Wisma Putra pada Jumaat, mesyuarat itu meneruskan perbincangan dan memuktamadkan isu-isu berhubung pelaksanaan Perkara-perkara Yang Dipersetujui (POA) dan Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong semasa pertemuan pemimpin pada 24 Mei dan 20 September tahun ini.

Semasa pertemuan pemimpin itu, Malaysia antara lain bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai tahun depan.

Malaysia juga akan memindahkan kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Quarantin ke WTCP.

Satu sistem aliran ringan antara Tanjung Puteri di Johor Baharu dan Singapura, bertujuan meningkatkan perhubungan di antara kedua-dua negara akan dibangunakan bersama. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain