suria

Kami Dipindahkan Lebih 100 Kali Oleh Penculik Di Filipina, Kata Penternak Rumpai Laut

Mangsa culik Tsen Vui Chung, 42, (tengah) dipeluk oleh isterinya Chua Mui Ling, 41, (kanan) dan keluarga terdekat ketika bertemu buat kali pertama sejak kejadian culik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Terminal 2, Jumaat. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Pengalaman dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain lebih 100 kali dalam tempoh 10 bulan dan 12 hari, dengan tangan terikat ketika diculik, merupakan perkara yang tidak mungkin dapat dilupakan dua penternak rumpai laut.

Tsen Vui Chung, 41, berkata beliau dan Lai Wing Chou, 33, sering dipindahkan oleh penculik mereka yang bersenjata bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa Filipina.

"Namun kami tidak pernah dicederakan dan mereka beri kami makanan. Kami hanya tidur di atas papan lapis dalam sebuah kem," katanya kepada pemberita di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, sejurus tiba dari Manila, Jumaat.

Tsen dan Lai diculik dari sebuah ladang rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna pada 8 Februari lepas.

Mereka diselamatkan oleh anggota keselamatan Filipina pada 22 Disember.

Tsen berkata ketika diculik pada 1.30 pagi, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali menurut segala arahan kerana senapang diacukan ke kepala sebelum dibawa enam lelaki dengan dua 'pump boat' menuju satu kawasan hutan.

Sepanjang tempoh ditahan, Tsen yang mempunyai dua anak berusia 11 dan 15 tahun berkata, penculik berkenaan hanya meminta nombor telefon tempat beliau dan Lai bekerja.

Beliau juga berkata mereka tidak berani melarikan diri kerana semua penculik bersenjata.

Sementara itu, isteri Tsen, Chua Moi Leng berkata beliau tidak dapat tidur selepas menerima berita yang suaminya telah diselamatkan.

"Saya sentiasa yakin dia akan pulang. Saya tidak pernah berhenti daripada mempercayainya sepanjang tempoh tersebut," katanya yang berhasrat mengadakan satu majlis ringkas bagi menolak bala apabila tiba di rumah mereka.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Pang En Yin, Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Seri Nasir Tun Sakaran dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri SAC Tan Kok Lian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain