suria

Dakwaan Perlekeh Guru Taktik Terdesak Anwar - TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri hari ini menolak dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau memperlekehkan peranan guru apabila mempertikaikan tawaran pembangkang untuk memperkenalkan imbuhan khas RM500 seorang setiap bulan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, sebaliknya menyifatkan dakwaan itu hanya menunjukkan betapa terdesaknya Ketua Pembangkang itu untuk meraih sokongan rakyat.

"Hanya Menteri Pelajaran tidak berhati perut yang tidak menghargai guru... beginilah terdesaknya Anwar Ibrahim, yang sebelum ini pernah menjadi Menteri Pendidikan.

"Saya gembira mendengar tawaran ini ... tetapi apa yang saya katakan adalah kita perlu melihat secara keseluruhan untuk menterjemahkan apa yang dikatakan tawaran ini dalam hakikat sebenar.

"Anwar Ibrahim yang pakar dan bijaksana itu harus tahu, tetapi kerana muslihat politik dan pilihan raya maka dia sanggup buat begitu... tak apalah kalau bankrap, tak apalah kalau tangggung lebih belanja asalkan kita menang dan saya akan jadi perdana menteri, itu tujuan dia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Mendidik Demi Malaysia di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya apabila menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Sehubungan itu, Muhyiddin mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Mengenai tawaran pembangkang, Muhyiddin berkata kerajaan akan memberi maklum balas secara keseluruhan berkenaan tawaran-tawaran pakatan pembangkang termasuk imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 tidak lama lagi.

"Kita akan teliti perkara yang ditawarkan... bagus juga dia umum. Tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga sudah bagi tahu kita akan respond secara keseluruhan tentang tawaran 100 Hari pakatan pembangkang itu," katanya.

Tawaran istimewa pembangkang kepada golongan pendidik itu antara yang terkandung di dalam Program 100 hari yang dikemukakan pakatan pembangkang pada konvensyen mereka di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain