suria

CyberSecurity Malaysia Terima Anugerah Khas CSR

KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberikan Anugerah Pengiktirafan Khas bagi program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)nya.

Anugerah itu diberikan oleh Jawatankuasa bagi Kerjasama Belia ASEAN dan Suruhanjaya Belia Negara Filipina pada Hari Belia ASEAN Ke-16 yang diadakan di Manila, Filipina baru-baru ini.

Pengerusi CyberSecurity, Jeneral Datuk Seri Azumi Mohamad menerima anugerah tersebut.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat itu berkata anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan bagi sumbangan, penglibatan dan inisiatif berharga CyberSecurity dalam menjayakan pelbagai program CSR.

"Niat kami pada asasnya adalah untuk berbakti kepada masyarakat, justeru itu program-program CSR diadakan berdasarkan fungsi teras agensi ini iaitu untuk mendidik rakyat Malaysia supaya menjaga keselamatan dalam dunia siber," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Lt Kol Husin Jazri juga menerima Anugerah CSO ASEAN 2010 sempena Persidangan CSO ASEAN 2010 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain