suria

Suami Isteri Dilepas Dan Dibebaskan Atas Tuduhan Rompak Kamera Milik TV3

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, Khamis, melepas dan membebaskan sepasang suami isteri yang merupakan pemilik restoran makanan Afrika daripada tuduhan merompak dua buah kamera milik Stesen TV3, dua tahun lepas.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu terhadap Elizabeth Sumana De Silva, 44, dan suaminya warga Nigeria, Adeyemi Rasaq Tunde, 44, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.

"Ini jelas menunjukkan keadilan tidak mengira warna kulit," kata hakim itu kepada pasangan suami isteri tersebut selepas menjatuhkan hukuman.

Bagi pertuduhan pertama yang dipinda, De Silva, warga Malaysia berketurunan Portugis didakwa memiliki barangan curi iaitu sebuah kamera jenis Panasonanic DVX 102B milik TV3 yang berada dalam kawalan jurugambar Fauzi Muin, 33, mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, De Silva turut didakwa bersama 10 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVC PRO milik stesen itu yang berada dalam kawalan Nor Azman Jumahat, 36, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Adeyemi pula didakwa bersama-sama lebih kurang 20 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVX 102B milik TV3 yang berada dalam kawalan jurugambar Fauzi mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Menara Gading 1, Taman Connaught, Cheras, di sini pada 1.10 pagi, 15 September 2008.

Zainal Abidin, dalam penghakimannya berkata, bagi pertuduhan pertama yang dihadapi oleh De Silva, mahkamah menerima alasan kamera itu disimpan olehnya bertujuan sebagai bukti untuk diberikan kepada polis.

"Tertuduh dalam keterangan bersumpahnya turut menyatakan dia pernah membuat panggilan telefon kepada polis bagi memberitahu dia menyimpan kamera tersebut," katanya.

Bagi pertuduhan kedua yang dihadapi De Silva, beliau berkata tertuduh dalam keterangannya menafikan bahawa dia merompak kamera itu dan keterangannya turut disokong oleh saksi pembelaan iaitu pelanggan di restoran tersebut.

"Keterangan seorang pelanggan yang dikenali tertuduh mengesahkan beliau hanya menemani tertuduh ketika berlaku kekecohan tetapi tidak nampak tertuduh mengambil apa-apa semasa atau selepas berlaku kekecohan di tempat tersebut," katanya.

Selain itu, keterangan saksi yang mempunyai kepakaran dalam kamera menjelaskan adalah tidak munasabah seorang wanita dapat mengangkat kamera seberat tujuh kilogram yang biasanya diletakkan di atas tripod.

Sementara itu, Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata bagi pertuduhan yang dihadapi oleh Adeyemi, tertuduh mendakwa dia sama sekali tidak berniat untuk merompak kamera itu.

"Sebaliknya kamera itu dirampas sebagai langkah berjaga-jaga selepas sebelum ini restorannya pernah dirosakkan oleh sekumpulan samseng pada April 2008," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Zulkifli yang mengemukakan tujuh saksi manakala pasangan itu diwakili peguam Christopher Joseph dan Mohd Aris Abu Bakar yang mengemukakan tujuh orang saksi.

Sejurus selesai prosiding itu, kelihatan anak perempuan pasangan itu yang berumur 14 tahun terus meluru dan memeluk kedua-dua ibu bapanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain