suria

Omar Kekal Jawatan Presiden Cuepacs

KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman mempertahankan jawatannya setelah menewaskan presiden Kesatuan Kakitangan Am Mardi Ramli Omar pada pemilihan kongres itu yang berlangsung di sini, Rabu.

Omar mendapat 816 undi berbanding lawannya 154 undi.

Keputusan pemilihan bagi penggal 2010-2013 itu diumumkan pada hari terakhir konvensyen tritahunan ke-25 kongres itu di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Khamis.

Dua jawatan timbalan presiden disandang oleh Azih Muda dan Zainal Ismail manakala jawatan setiausaha agung dimenangi oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Pheng yang menewaskan penyandang Ahmad Shah Mohd Zin dan seorang lagi calon Ku Azmi Ku Ibrahim.

Jaafar Mansor pula dipilih sebagai setiausaha kewangan.

Bercakap kepada pemberita, Omar berkata, Cuepacs akan meneruskan perjuangan bagi menaikkan taraf skim perkhidmatan mengikut perubahan kelayakan selain berusaha meningkatkan jumlah kesatuan gabungan.

Katanya, Cuepacs juga mahu melaksanakan keanggotaan wajib dan automatik bagi semua penjawat awam yang layak menganggotai kesatuan.

Beliau berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) supaya apa juga penambahbaikan, latihan, bonus dan kenaikan gred diberi keutamaan kepada mereka yang menganggotai kesatuan di bawah Cuepacs.

"Kita tak mahu penjawat awam yang tidak menjadi anggota kesatuan menumpang perjuangan Cuepacs kerana faedah yang diperolehi esok akan dinikmati bersama. Kita mahu bagi mereka yang layak, mereka wajib masuk kesatuan," katanya.

"Mereka tidak boleh memberi alasan tidak memperoleh apa-apa faedah dengan menyertai kesatuan. Ada juga yang tidak menghormati perjuangan Cuepacs," katanya.

Menurutnya, ketika ini hanya 560,000 anggota menyertai gabungan Cuepacs berbanding 900,000 penjawat awam yang layak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain