suria

KDRM Rampas Barang Yang Cukainya Melebihi RM500 Juta Tahun Ini

KUANTAN: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas barangan yang nilai cukainya melebihi RM500 juta setakat ini tahun ini, kata Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf.

Menurut beliau, jumlah itu meningkat 52.22 peratus berbanding nilai rampasan tahun lepas iaitu sebanyak RM331 juta.

"Nilai barang rampasan yang dibuat tahun ini sehingga hari ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah dengan nilai sebanyak RM500,503,718.39 juta berbanding RM338,054,045.43 juta tahun lepas," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Inovasi dan Integriti KDRM peringkat kebangsaan di sini pada Khamis.

Dari segi hasil, beliau berkata KDRM berjaya membuat pungutan sebanyak RM27.3 bilion sehingga Isnin lalu berbanding RM24.04 bilion tahun lepas.

"Purata pungutan hasil sebulan sepanjang tahun ini ialah sebanyak RM2.4 bilion dengan anggaran purata sehari berjumlah RM79.35 juta, di mana 13 barangan dan perkhidmatan merupakan penyumbang utama iaitu 73.10 peratus atau RM19,980.27 juta daripada pungutan hasil terkumpul," katanya.

Beliau berkata antara 13 barangan dan perkhidmatan itu ialah kenderaan bermotor yang menyumbang hasil kutipan terbanyak iaitu RM10,778.50 bilion diikuti cukai rokok (RM3,085.21 bilion), petroleum mentah (RM1,684.06 bilion) dan minuman keras (RM1,489.75 bilion).

Mohamed Khalid berkata sebanyak RM28.06 bilion hasil dijangka dapat dipungut dalam beberapa hari lagi tahun ini di mana pembayar cukai akan berpusu-pusu membuat bayaran sebelum tempoh bayaran cukai berakhir Selasa depan.

Mengenai kes yang dibanteras oleh KDRM, beliau berkata KDRM Pahang berjaya menahan dua buah kontena yang berisi muatan minuman keras pada 10 Dis lalu di Pelabuhan Kuantan.

"Pemeriksaan yang dijalankan, didapati muatan kontena tersebut mengandungi 113,300 tin bir jenama Carlsberg dan Royal Stout yang disyaki belum lulus kastam.

"Nilai dagangannya dianggarkan kira-kira RM170,000 sementara jumlah cukai ditafsirkan RM540,000," katanya.

Beliau berkata seorang lelaki yang bertindak sebagai agen penghantaran ditahan dalam kes tersebut di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengangkut atau berurusan dengan barang larangan import.

Jika sabit kesalahan katanya, individu terbabit boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai dagangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai dagangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain