Haram Logo 1Malaysia, Selangor Takut Sokongan Rakyat - Semasa | mStar

Haram Logo 1Malaysia, Selangor Takut Sokongan Rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kesal dengan tindakan kerajaan Selangor yang mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia pada semua iklan di papan tanda di seluruh negeri itu.

Katanya, tindakan itu jelas menggambarkan bahawa kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) takut dan bimbang dengan peningkatan sokongan rakyat terhadap konsep tersebut.

"Langkah ini memang bertentangan dengan dasar mereka tentang kebebasan dalam penerangan dan penyampaian maklumat kepada rakyat dan pelbagai bentuk kebebasan lain.

"1Malaysia ini ialah untuk semua, di mana ia untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan ia tidak sepatutnya dilihat dari sudut politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Menterjemah Cerpen Mahua (Masyarakat Cina Malaysia) Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2010, di sini pada Khamis.

Turut hadir di majlis itu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia Goh Hin San.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu mengumumkan pengharaman itu kerana mendakwa konsep 1Malaysia bermotifkan politik dan sekaligus bertentangan dengan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan yang melarang mempamerkan iklan yang berbaur politik.

Beliau berkata konsep tersebut yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan memperkasa perpaduan di kalangan rakyat seharusnya disambut dan dihayati dengan baik oleh semua pihak.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor, Koh yang juga Presiden Gerakan berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Bagaimana pun, usaha dan kerjasama semua parti komponen perlu dipertingkat terutama dalam meraih sokongan pengundi-pengundi untuk terus memilih BN.

"Kita mempunyai peluang baik tetapi kita janganlah ambil ringan, kita hendaklah kerja kuat dan dapatkan setiap undi untuk sokong Barisan Nasional. Gerakan mempunyai empat cawangan dengan 200 anggota di sana, dan kita akan kerah mereka," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59 yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini Jumaat lepas.

Esok, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya DUN itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Koh berkata usaha penterjemahan cerpen dan buku-buku sastera perlu dipertingkatkan memandangkan ia merupakan jambatan yang dapat menghubungkan pelbagai bahasa dan budaya berlainan sekaligus memberi peluang kepada sesuatu kaum untuk memahami nilai dan amalan dalam budaya kaum lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ibu Sudah Tiada Untuk Julang Kejayaan Syafiqah

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain