suria

Ekonomi Melayu Perlu Anjakan Paradigma Untuk Pertumbuhan 8.0 Peratus Setahun

KUALA LUMPUR: Ekonomi orang Melayu perlu mengalami satu anjakan paradigma dan mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 8.0 peratus setahun bagi membolehkannya mencapai taraf seiring dengan ekonomi kaum lain.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ekonomi orang Melayu perlu berada seiringan dengan kaum lain bagi mengekalkan kuasa politik yang dipegang sekarang.

"Jika kaum lain menguasai ekonomi, tidak mustahil kuasa politik mereka akan meningkat mendadak," katanya pada Program Bicara Orang-Orang Muda anjuran Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau berkata ekonomi orang Melayu mesti berkembang seiring dengan ekonomi negara untuk mengelakkan jurang ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin meluas.

Mukhriz berkata ekonomi orang Melayu ketika ini berkembang pada kadar 2.3 peratus hingga 2.5 peratus berbanding pertumbuhan ekonomi negara yang berada pada kadar 7.0 peratus setahun.

"Pertumbuhan ekonomi negara ini mencerminkan yang ekonomi bukan melayu telah berkembang lebih pesat daripada ekonomi orang Melayu," katanya.

Yang turut hadir ialah presiden Aspirasi Mohd Shahar Abdullah.

Katanya, jika kadar perbezaan pertumbuhan ekonomi itu berlarutan sehingga tahun 2020, maka jurang ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu akan semakin meluas.

Bicara Orang-Orang Muda adalah program bual bicara yang menghimpunkan bekas-bekas pemimpin pelajar dari institusi-institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia.

Program yang disertai lebih 50 orang bekas pemimpin pelajar itu turut mengupas isu-isu yang berkaitan dengan graduan seperti masalah graduan mengangur dan bantuan kepada graduan yang ingin memulakan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain