suria

Bomba P.Pinang Nafi Dakwaan Kononnya Tiba Lewat Padam Kebakaran

GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menafikan dakwaan kononnya kelewatan pasukan itu tiba di tempat kejadian adalah antara sebab empat beranak maut dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Perak di sini awal pagi Rabu.

Pengarahnya Ahmad Izram Osman berkata dakwaan oleh seorang daripada anggota keluarga mangsa itu adalah tidak berasas kerana bomba tiba sejurus menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.50 pagi.

Katanya sebanyak lima jentera bomba dari Jalan Perak, dan empat pasukan sukarelawan bomba dengan kekuatan 35 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan namun terdapat pelbagai kekangan yang meyebabkan mangsa kebakaran berkenaan gagal diselamatkan.

"Antara kesulitan itu ialah faktor struktur bangunan yang susah ditembusi dari pintu hadapan, struktur lantai beralaskan kayu, susun atur barangan dalam kedai tersebut yang dipenuhi colok dan minyak serta papan tanda kedai hadapan bangunan menyukarkan anggota penyelamat untuk memasuki premis itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya, bagaimanapun kerja-kerja menyelamat tetap dilakukan ketika api sedang marak menerusi pintu belakang ekoran kedai tersebut menggunakan dua pintu bergerigi di hadapan yang sukar dipecah masuk.

Dalam kebakaran itu, pemilik kedai Neoh Hooi Poh, 57, terselamat manakala isterinya Goey Siew Keow, 56, anak perempuannya Neoh Li Hong, 18, dan anak lelakinya Neoh Soo Aik, 16, ditemui mati di tingkat atas bangunan manakala ibu Hooi Poh, Lim Chai Hwa, 73, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Pengerusi Jawatakuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, terdapat anggota keluarga mangsa yang melahirkan rasa kesal kerana kelewatan pasukan dari Balai Bomba Jalan Perak tiba di tempat kejadian sedangkan ia hanya terletak tidak sampai satu kilometer dari tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain