suria

Tiga Suspek Ditahan, Dadah Bernilai RM1.6 Juta Dirampas

KUANTAN: Polis Pahang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan dalam dua serbuan di kawasan sebuah hotel di Temerloh pada Jumaat lepas dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata dua suspek lelaki yang kewarganegaraan mereka masih disiasat itu ditahan pada kira-kira 9.30 malam ketika mereka berada dalam kereta masing-masing dan dipercayai sedang membuat satu transaksi pengedaran dadah.

Katanya polis turut merampas 3.7 kilogram heroin dan 800 gram syabu di dalam kedua-dua kereta itu.

"Ketika serbuan dilakukan, dua kereta berkenaan telah bertindak mengundur dan merempuh kereta polis untuk melarikan diri sebelum pihak kita melepaskan beberapa das tembakan pada bahagian tayar kereta suspek," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkara pergelutan turut berlaku di antara kedua-dua suspek yang berusia 27 tahun yang juga pelajar kolej di ibu negara dengan anggota polis sebelum mereka berjaya ditahan.

"Suspek wanita yang berusia 30 tahun pula ditahan di kawasan lobi hotel terbabit dan pemeriksaan badannya kita berjaya merampas sebiji pil Eramin 5 dalam beg tangan yang dibawanya," katanya.

Sharifudin berkata hasil soal siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek warga asing berkenaan telah membawa polis ke tempat tinggal mereka di dua buah pangsapuri di Sungai Long, Kajang, Selangor dan di situ polis merampas 1,421.1 gram dadah syabu dan 378 biji pil ecstacy.

"Nilai jualan runcit kesemua dadah yang dirampas dianggarkan sebanyak RM1.6 juta di mana bekalan dadah jenis syabu tersebut dibawa masuk dari luar negara oleh warganegara asing yang menjadikan warga tempatan sebagai keldai dadah manakala dadah heroin dibawa masuk dari ibu negara".

Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, satu majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Pahang yang sebelum ini disandang Sharifuddin kepada Datuk Fatimah Ghazali yang disaksikan oleh Timbalan Pengarah 2 Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Leo Chong Cheng.

Sharifuddin memegang tampuk sebagai Ketua Polis Pahang daripada Datuk Robiah Abdul Ghani yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman.

Fatimah sebelum ini ialah Timbalan Pengarah 2 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain