suria

Terima Kasih Musa Aman Kepada Pihak Berkuasa, Individu Atas Pembebasan Tebusan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan individu berkenaan yang telah sama-sama berusaha mendapatkan pembebasan dua rakyat Sabah yang diculik di Semporna awal tahun ini.

Musa, yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, juga meminta pasukan keselamatan sentiasa berwaspada dan mempertingkat kesiapsiagaan di darat dan kawasan perairan bagi menentukan insiden sedemikian tidak berulang.

"Saya mengucapkan selamat kepada lelaki yang dibebaskan itu dan keluarga mereka dan berharap mereka akan meneruskan kehidupan seperti biasa setelah kejadian malang itu berlalu," katanya dalam satu kenyataan di sini malam Rabu.

Dua lelaki itu Tsen Vui Chung, 41, dan Lai Wing Chau, 33, dipercayai telah diselamatkan oleh pegawai keselamatan Filipina pada kira-kira 6 pagi Rabu di satu lokasi yang tidak dinyatakan di Pulau Tawi-Tawi di bahagian selatan Filipina.

Pada 7 Februari, dua pekerja rumpai laut itu dilaporkan hilang selepas sekumpulan lelaki bersenjatakan rifel merompak mereka di Pulau Sebangkat, Semporna. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain