suria

Sarjan Polis Bebas Tuduhan Rasuah

KLANG: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang menghadapi dua pertuduhan rasuah pada Rabu dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dua pertuduhan ke atas Sarjan G.Kanniappan itu adalah melampaui tahap keraguan munasabah.

Kanniappan, 56, dituduh meminta rasuah berjumlah RM300 daripada Kamal Jummu pada 18 September, 2003 di Balai Polis Sungai Pelek, Sepang supaya tidak mengambil tindakan ke atas Kamal yang terlibat dalam satu pergaduhan.

Dia juga dituduh menerima suapan RM200 daripada Kamal Jummu di Restoran Aziz , No 45, Jalan Besar Sepang pada 19 September 2003 bagi tujuan yang sama.

Kanniappan dituduh melakukan kesalahan itu semasa bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan beliau ditahan pada tahun 2003 sebelum didakwa pada Julai 2004.

Selepas prosiding pada Rabu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wong Poi Yoke memberitahu wartawan yang pihaknya akan merayu terhadap keputusan itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain