suria

Pemilik Pasar Raya Segar Mati Ditembak Di Subang Jaya

PETALING JAYA: Seorang pemilik pasar raya segar ditemui mati dengan kesan dua das tembakan di kepalanya dalam sebuah kereta di jalan pinggiran, USJ 1/1 di sini, malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC II Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum itu, lelaki berumur 50-an itu bersama teman wanitanya berumur 30-an baru keluar dari kedai berkenaan kira-kira 9.30 malam.

"Ketika sedang mengundurkan kereta dan menunggu dua pekerja menutup kedai, tiba-tiba datang sebuah motosikal berwarna merah menghampiri bahagian cermin pemandu sebelum pembonceng motosikal itu melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala si mati," kata Mohd Adnan kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, lelaki itu mati di tempat kejadian namun teman wanitanya tidak mengalami kecederaan manakala suspek yang menunggang motosikal tersebut melarikan diri.

Polis yang tiba di tempat kejadian menemui pemilik pasar raya itu terbaring dalam kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam manakala teman wanita dan dua pekerjanya berada di luar kenderaan tersebut, katanya.

Mohd Adnan berkata menurut saksi, kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup penuh dan menunggang motosikal berwarna merah namun senjata pembunuhan tidak ditemui.

Motif pembunuhan masih disiasat dan polis tidak menolak kemungkinan suspek merupakan pembunuh upahan, katanya.

Katanya, polis sedang melihat melihat kamera litar tertutp (CCTV) di premis perniagaan itu bagi mengesan dan mencari petunjuk untuk mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut seksen 302 kanun keseksaan.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain