suria

Pemilik Kilang Hilang Di Kajang Akibat Disamun Ditemui Di Mantin

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kilang plastik yang dilaporkan hilang Isnin lepas setelah dipercayai disamun di Kajang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kebun kelapa sawit di Mantin, Negeri Sembilan awal pagi Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner II Mohd Adnan Abdullah berkata mangsa ditemui pada kira-kira pukul 9.00 oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan kebun itu.

"Mangsa yang dikenali sebagai Law Chee Ming, 41, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur.

"Mangsa dilaporkan kritikal selepas dibelasah oleh sekumpulan perompak di bahagian kepala, malah terdapat kesan lebam di badannya serta kesan cedera di kaki serta tangan," kata Mohd Adnan.

Beliau berkata berdasarkan keterangan awal, mangsa mendakwa ia sedang bekerja bersendirian pada pukul 12 tengah malam 20 Disember lalu, di kilangnya di Batu 9, Kajang dekat sini ketika premis itu diceroboh.

"Mangsa kemudiannya telah dilarikan oleh perompak bersama dengan sebuah Toyota Hilux miliknya.

"Turut hilang dalam kejadian itu adalah besi tembaga yang dianggarkan bernilai RM2,000 hingga RM3,000," katanya.

Menurutnya polis tidak menolak kejadian itu bermotifkan samun dan dipercayai berlaku pergelutan antara mereka kerana terdapat kesan darah pada lantai kilang berkenaan.

Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengesan suspek yang dipercayai masih berada di Lembah Klang, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain