suria

Lelaki Aceh Bebas Tuduhan Edar Ganja

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Rabu, melepas dan membebaskan seorang lelaki dari Aceh, Indonesia daripada tuduhan mengedar lebih 7 kilogram ganja, awal tahun lalu.

Hakim Dr Badariah Sahamid membuat keputusan itu terhadap Ishak Abdurrahman selepas menerima pembelaannya bahawa dia ditangkap di hadapan kedai gunting miliknya tanpa memegang apa-apa dadah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa ditangkap di hadapan Bangunan Pasaraya Tesco, di sini.

Keterangan Ishak yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein juga disokong oleh dua lagi saksi pembelaan, iaitu isteri dan rakan Ishak.

Selain itu. Badariah juga mendapati pihak polis telah gagal untuk menyiasat mengenai dakwaan Ishak bahawa dadah itu sebenarnya dijumpai di tempat lain.

Malah, perkara itu dan dakwaan bahawa dadah adalah kepunyaan individu lain telah dikemukakan sejak awal, iaitu dari saat percakapan beramarannya direkodkan.

Justeru itu, Badariah pada penghakimannya memutuskan pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah mengenai pemilikan dadah tersebut, sekaligus mengagalkan kes pendakwaan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mendengar keterangan lima saksi pendakwaan.

Ishak sebelum ini dibicarakan atas tuduhan mengedar 7269 gram ganja yang didakwa dilakukan pada pukul 12.30 pagi, 1 Mac 2009 di hadapan Tesco, Jalan Setia Prima SU13/5, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain