suria

Kementerian Belia Dan Sukan Mungkin Dipisahkan?

PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak menolak kemungkinan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memisahkan dua fungsi kementerian itu bagi membangunkan golongan belia dan industri sukan pada masa akan datang.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kemungkinan itu boleh berlaku sekiranya peranan dan tanggungjawab kedua-duanya semakin berat dan memerlukan lebih fokus.

“Jika ia dilaksanakan kelak, ia sesuatu perkara yang amat baik bagi mewujudkan pengkhususan dalam memastikan pentadbirannya lebih mantap.

“Bagaimanapun perkara itu masih terlalu awal, ia sekadar kemungkinan. Biarlah kerajaan sendiri membuat keputusan mengenainya demi pembangunan belia dan sukan lebih baik,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Mohamed Maliki berkata, pengasingan fungsi bagi belia dan sukan diibaratkan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.

“Kedua-dua kementerian itu mempunyai kaitan dengan pembangunan pendidikan dan penyertaan belia namun diberikan pengkhususan lebih strategik dan fokus,” katanya.

Kemungkinan itu berikutan langkah kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula struktur KBS dari segi sumber tenaga sebagai langkah memperkasakan golongan belia di negara ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mohamed Maliki berkata, keputusan penstrukturan semula KBS itu bertepatan seiring dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan transformasi dalam pentadbiran negara.

Ini katanya, dapat memenuhi kehendak dan hala tuju masyarakat belia serta menunjukkan golongan itu diiktiraf sebagai generasi kepimpinan masa depan.

“Perubahan ini tidak perlu dipersoalkan kerana ia bertujuan untuk menambahbaik fungsi KBS bagi memanfaatkan golongan belia dari masa ke semasa.

“Kita tidak boleh sekadar tertumpu pada kerangka lama tanpa pembaharuan. Penstrukturan semula merupakan langkah tepat mengembangkannya,” katanya.

Beliau berkata, banyak ruang yang boleh dipertingkatkan bagi membangunkan belia dan paling penting adalah sistem penyampaian bagi menjamin golongan itu.

“Antara elemen yang boleh dilihat adalah mengupayakan belia serta menyediakan kemudahan kepada golongan ini menyuarakan pandangan.

“Pada masa yang sama, penyertaan mereka harus diberikan perhatian meskipun kecil kerana KBS bukan sekadar kementerian tetapi hubungan antara belia dan negara. Justeru, setiap penyampaian perlu menepati golongan sasaran,” katanya.

Tambahnya lagi, hasrat itu menepati dengan empat inisiatif yang dikemukakan oleh Makmal Pembangunan Belia seperti menubuhkan Dewan Belia Malaysia yang berfungsi sebagai sebuah Parlimen.

Ini kataya, bagi membolehkan wakil-wakil belia dari semua kawasan Parlimen bermesyuarat untuk memberikan pendapat dan pandangan masing-masing.

“Mungkin ada yang menyifatkan ia sebagai usaha mempolitikkan belia tetapi sebenarnya ia berfungsi lokaliti yang membawa suara belia dari seluruh kawasan.

“Ini terutama kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk di kalangan belia serta memberi ruang kepada mereka yang selama ini tersisih seperti Orang Asli,” katanya.

Selain Dewan Belia Malaysia, tiga inisiatif lain adalah menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Belia, penubuhan Pusat Sumber Virtual Belia serta Ikon Belia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain