suria

Keadaan Kembali Tenang Di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun

IPOH: Perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kembali tenang malah tidak lagi menjadi tumpuan media dan orang awam setelah kesemua 25 mayat pelancong Thailand yang maut dan seorang mangsa yang cedera dalam kemalangan ngeri, telah dihantar ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor tengah hari Rabu menuju ke negara itu.

Bagaimanapun suasana itu berbeza berbanding pagi tadi ketika proses pengumpulan dan dokumentasi dilakukan seawal 8.30 pagi di mana ia diselubungi suasana hiba dan pilu apabila waris meratapi pemergian mangsa.

Ruang legar jabatan berkenaan dipenuhi dengan susunan keranda berwarna putih dengan dibaluti dan dilabel nama setiap pelancong yang maut.

Antara waris yang datang ialah Minnita, 29, yang tiba dari Bangkok, Thailand pada 8 malam Selasa untuk menuntut mayat kedua-dua ibu dan bapanya, Phuwadit dan Thanathon Thansak Theenakun.

Anak tunggal kepada pasangan yang maut itu tiba di perkarangan jabatan tersebut pada pukul 9.30 pagi, terpaksa ditenangkan oleh wakil Kedutaan Thailand selepas dimaklumkan bahawa kedua-dua orang tuanya turut terkorban dalam kemalangan tersebut.

Selain itu Aummarime Kamolkunpipat turut menangis kerana tidak dapat menahan rasa sedih atas kehilangan isterinya, Piyanun Klingchuay.

Usaha pihak media untuk menemubual waris gagal apabila tidak dibenarkan berada berhampiran dengan mereka, sebaliknya diminta berada pada jarak kira-kira enam meter dari kawasan menunggu waris, wakil agensi pelancongan terbabit dan wakil kedutaan.

Proses penghantaran kesemua yang maut ini turut mendapat liputan meluas media dari Thailand antaranya Channel 3, NBC dan NEC selain media tempatan.

Lima sami Budhha dari Wat Sri Bunyama yang terletak di Jalan Raja Dihilir di sini turut dibawa ke jabatan ini untuk melakukan upacara keagamaan ke atas semua mangsa yang maut yang disertai waris dan wakil kedutaan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah lori 25 tan metrik digunakan untuk membawa kesemua 25 keranda mayat ke Lapangan Terbang TUDM Subang dan lebih 50 anggota terdiri daripada pasukan polis dan tentera turut sama membantu mengangkat keranda ke dalam lori yang disediakan.

Lori berkenaan bergerak ke Lapangan Terbang TUDM di Subang dengan diiringi polis trafik.

Pagi Isnin lalu, 27 penumpang maut dalam satu kemalangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands setelah sebuah bas persiaran dua tingkat yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan.

Daripada jumlah itu, 25 daripadanya adalah pelancong Thailand manakala dua lagi mangsa adalah rakyat tempatan.

Sementara itu, seorang mangsa yang cedera, Areena Nasir, 20, memberitahu bahawa bas persiaran yang dinaiki itu tidak dipandu laju sebelum ia merempuh bahagian bukit di sebelah kanan ketika menuruni laluan dari Cameron Highlands.

Bagaimanapun, katanya beliau terbau sesuatu yang terbakar dan hangit pada setiap kali pemandu bas terbabit menekan brek ketika menuruni laluan berbukit di kawasan tersebut.

"Tidak, bukan melebihi had laju...saya duduk di sebelah pemandu dan ada bau brek bas apabila pemandu tekan brek. Mungkin brek bas tidak berfungsi," katanya ketika ditemui pemberita di ruang legar di Unit Kecemasan HRPB.

Beliau kemudiannya menaiki ambulan HRPB untuk dibawa ke Bukit Kayu Hitam sebelum rawatan lanjut diambil alih oleh Hospital Hadyai di THailand.

Areena yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan Undang-undang di Walailak University, Nakhon Sithamarat dan bercuti di kawasan peranginan itu bersama emak saudaranya, Dariah Ismail, 59.

Selain Areena, Rungnapa Klungsuwan, 53, dan Suchanchira Chaiaueai 41 turut menaiki ambulan ke Bukit Kayu Hitam dengan diiringi jururawat dan doktor dari Thailand, manakala Pramualrat Phimpahu, 45 dibawa ke TUDM Subang untuk menaiki pesawat ke Bangkok.

Enam mangsa yang cedera masih dirawat di HRPB kerana mereka tidak berupaya untuk dibawa pulang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain