suria

Isteri Bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Meninggal Dunia

SHAH ALAM: Isteri bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Zainal Abidin Osman, Datin Shazarina Shamsuddin meninggal dunia awal pagi Rabu di Hospital Selayang akibat barah hati dan paru-paru.

Shazarina, 46, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 5 pagi dan jenazah allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di sini pada pukul 8 pagi, kata Zainal.

Jenazah allahyarham akan dibawa di kampung halamannya di Parit Mahang, Kuala Selangor untuk dikebumikan selepas solat Asar, katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu Nadhir Ashafiq, Nabil Ashmawi, Najlaa Aina dan Nafiz Ashrani.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Allahyarham merupakan ahli Bakti yang rajin dan sangat aktif di dalam apa juga program yang dilakukan oleh Bakti, kata Rosmah selaku Yang Dipertua Bakti dan menurutnya allahyarham merupakan kawan rapat.

"Dan apa saja kerja yang kami berikan kepadanya, allahyarhamah tak pernah menolak dan kepada saya ini memanglah satu kehilangan yang amat besar kepada Bakti," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah allahyarham.

Rosmah turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada suami allahyarham.

Turut menziarahi jenazah allahyarham ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain