Empat Terbunuh Dalam Kebakaran Di P.Pinang Awal Pagi Ini - Semasa | mStar

Empat Terbunuh Dalam Kebakaran Di P.Pinang Awal Pagi Ini

GEORGE TOWN: Empat sekeluarga terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Perak di sini awal pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Pulau Pinang Mohd Razam Taja Rahim berkata, mayat Geoh Siew Keow, 56, serta dua anaknya Neoh Li Hong, 18, dan Neoh Soo Aik, 16, ditemui di dalam bilik air tingkat atas rumah itu.

Beliau berkata, seorang lagi wanita, Lim Chye Hwa, 73, yang ditemui di tingkat bawah rumah itu pula meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, bomba menerima panggilan pada kira-kira pukul 2.50 pagi, dan semasa kejadian tiga beranak itu dikatakan sedang tidur di tingkat atas rumah, manakala dua lagi penghuni tidur di tingkat bawah.

"Kami berjaya selamatkan pemilik rumah Neoh Hooi Poh, 59, di tingkat bawah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata, lima jentera bomba dari Jalan Perak, dan masing-masing satu dari Bagan Jermal, Lebuh Pantai dan Paya Terubong dengan kekuatan kira-kira 35 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Api merebak dengan pantas kerana rumah itu dipenuhi dengan banyak bahan mudah terbakar, ia menyimpan banyak peralatan untuk sembahyang kaum Cina, kami berjaya kawal kebakaran dalam masa kira-kira 15 minit," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Farah Nabilah gementar ganti Neelofa