IPOH: Dua orang terbunuh, dua parah dan tiga cedera apabila dua buah kenderaan bertembung dalam kemalangan di Km 45.5 Lebuhraya Timur Barat dekat Gerik, tengah malam Isnin.Ketua Polis Daerah Gerik Supritendan Mahad Nor Abdullah berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu adalah pemandu kereta Zainol Abidin Yahya, 50, dan isterinya Rohani Abdullah, 45, yang berasal dari Asam Kumbang, Taiping. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi, Selasa.Mahad berkata dua anak pasangan suami itu, Zairul Nizal, 25, dan Norfariatul Asnida, 10, cedera parah dan dirawat di hospital sama.Tiga lagi yang cedera pemandu kereta Rasid Mohamad, 58, Narawi Embong, 45 dan Ramli Abu Bakar, 50, yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu dan dirawat di hospital sama, katanya.Mahad berkata kejadian berlaku apabila kereta jenis Nissan yang dipandu Zainol dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli dipercayai gagal dikawal lalu terbabas dan bertembung dengan kereta jenis Naza Citra yang dipandu Rasid dari arah bertentangan.Ketika kejadian jalan basah akibat hujan lebat.Jenazah kedua-dua mangsa telah dituntut oleh keluarganya dan dibawa balik ke kampung mereka di Kampung Relong, Batu Kurau, untuk dikebumikan. - BERNAMA