KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd dijangka menfailkan tindakan sivil sebelum akhir tahun ini terhadap individu dengan kesalahan prima facie dalam empat projek yang mengalami kerugian.Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Isnin, Sime Darby berkata syarikat akan mendedahkan tuntutan berkenaan untuk dibaca oleh pihak yang berminat memandangkan minat yang meluas terhadap isu itu dan konsisten dengan objektifnya untuk telus. Keempat-empat projek itu ialah projek Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum, projek Maersk Oil Qatar, projek empangan hidroelektrik Bakun dan projek pembinaan kapal yang dikenali sebagai Marine Project.Sime Darby telah dan akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung siasatan isu berkenaan.Sehingga kini, Sime Darby telah secara sukarela menyediakan semua laporan berhubung penemuan kepada pihak berkuasa daripada siasatan yang dijalankan oleh pakar perundangan dan kewangan yang dilantik oleh lembaga, katanya.Dalam hal ini, Sime Darby mengimbangi dasar ketelusan sendiri dan akauntibiliti terhadap kepentingan pemegang saham dan peraturan berhubung pendedahan sedemikian apabila isu berkenaan dikemukakan kepada pihak berkuasa sebagaimana terdapat dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia 2009. - BERNAMA