suria

Semua Pelancong Datang Dari Bangkok

IPOH: Semua pelancong Thai yang terlibat dalam kemalangan bas pesiaran dekat sini, Isnin, tiba di negara ini dari Bangkok pada 18 Disember.

Seorang daripada penumpang bas berkenaan Iuntnapa Chuchart, 53, berkata kumpulan mereka seramai 34 orang, kebanyakannya wanita.

"Kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk pulang ke tanah air bila kemalangan berlaku," kata beliau ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini malam ini.

Beliau cedera ringan dan dimasukkan wad bersama sembilan yang lain.

Dalam kemalangan itu, bas dua tingkat itu terbalik dan memasuki laluan sebelah dan menjunam ke dalam parit ketika menuruni jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di km 15 pada 11.40 pagi, mengakibatkan 27 orang terbunuh dan 10 cedera.

Kemalangan itu disifatkan paling buruk dalam sejarah negara. Dua puluh dua daripada mereka maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Polis Daerah Ipoh telah memaklumkan kepada Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur berhubung identiti mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner (ACP) Azisman Alias berkata konsul Thailand di Pulau Pinang juga telah diberitahu.

"Kita juga telah bagi nama dan nombor pasport mangsa yang terlibat bagi proses menuntut mayat," katanya ketika ditemui di rumah mayat hospital berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain