suria

Projek MRT Perlu Dilaksana Selaras Peningkatan Penduduk

KUALA LUMPUR: Projek transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang dan kereta api berkelajuan tinggi perlu dilaksana pada masa sekarang berikutan jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, jika projek tersebut tidak dilaksanakan pada masa ini, beliau percaya kerajaan terpaksa membinanya juga pada masa akan datang kerana sistem pengangkutan sedia ada tidak mampu menampung peningkatan mendadak jumlah penduduk.

"Negara kita semakin sesak, setiap tahun hampir satu juta kenderaan didaftarkan, banyak masalah didengari daripada orang ramai terutama dari segi kesesakan dan juga ketidakselesaan.

"Sebab itu pengangkutan awam ini merupakan satu inisiatif yang penting khususnya di Greater KL, kerana kita tahu di Greater KL terdapat lebih kurang lima juta penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, di sini, Selasa.

Projek MRT yang merupakan projek infrastruktur yang terbesar di Malaysia adalah satu projek kemasukan ekonomi (EPP) untuk NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kerja pembangunan projek tersebut dijangka bermula Julai tahun depan dan akan mengambil masa lima atau enam tahun dengan laluan pertama menghubungkan Sungai Buloh dengan Kajang yang melalui pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Abdul Rahim juga berkata, jika kerajaan lewat menyediakan sistem pengangkutan awam moden yang sesuai pada masa ini, ia akan merugikan negara kerana kos menyediakan perkhidmatan itu pada masa akan datang sudah pasti akan meningkat.

"Kita tidak boleh menangguh projek sedemikian kerana negara-negara di rantau ini sudah maju dalam bidang pengangkutan seperti Singapura dengan sistem MRT dan China pula dengan kereta api berkelajuan tinggi," katanya.

Katanya, semua pihak perlu berfikiran positif mengenai cadangan projek menaik taraf sistem pengangkutan tersebut yang dilihat bukan hanya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan malah pelancong asing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain