suria

Polis: Tiga Jenis Senjata Diguna Dalam Pembunuhan Pelajar Di Batu Pahat

BATU PAHAT: Siasatan polis mendapati tiga jenis senjata digunakan dalam pembunuhan seorang pelajar perempuan yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit, di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata senjata berkenaan merupakan sebilah parang, sebilah pisau lipat dan satu buku lima serta dua guni dipercayai digunakan suspek bagi melakukan jenayah tersebut.

"Kesemua barangan itu ditemui dalam serbuan polis terhadap salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan Jumaat lepas. Polis turut menemui telefon bimbit milik mangsa di dalam rumah salah seorang suspek berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga pelajar perempuan berkenaan di Kampung Parit Ju Darat, di sini, Isnin.

Mohd Mokhtar berkata kesemua barang yang dirampas itu kini dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan kertas siasatan mengenai kes berkenaan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selewat-lewatnya Khamis ini.

"Saya menasihatkan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kes ini supaya tampil menyerah diri dan memberi keterangan sebelum mereka ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi terhadap kes pembunuhan itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

Jumaat lepas, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dijumpai mati dengan mayatnya disembunyikan di bawah timbunan daun kelapa sawit pada kira-kira pukul 5 petang dengan satu kesan tikaman di badan.

Dia dipercayai dibunuh tidak jauh dari rumahnya sebelum diheret 50 meter ke dalam kawasan ladang terbabit.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra, Tongkang Pechah itu dilaporkan hilang pada Rabu lepas apabila dia tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

Polis pada hari yang sama berjaya menahan tiga remaja lelaki berumur 14 hingga 16 tahun sebelum menahan seorang lagi remaja lelaki berumur 14 tahun dan seorang lelaki berumur 44 tahun, semalam.

Sementara itu, seorang daripada remaja lelaki yang ditahan itu dilihat dibawa ke lokasi pembunuhan itu petang ini.

Suspek yang tiba kira-kira pukul 4.30 petang berada kira-kira satu jam di lokasi tersebut sebelum dibawa keluar dari ladang kelapa sawit itu dengan kereta polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain