suria

Penumpang MAS Terkandas Di Frankfurt Tiba Di London

KUALA LUMPUR: Malaysian Airlines (MAS) kini boleh meneruskan penerbangannya secara beransur-ansur ke London selepas pembukaan semula lapangan terbang London Heathrow dengan hanya satu landasan beroperasi.

Penumpangnya yang terkandas di Frankfurt tiba di London pada Selasa pukul 9.13 pagi (Waktu Malaysia).

Satu lagi penerbangan, MH 002D, yang terpaksa dilencongkan ke Istanbul kini akan berlepas ke London pada pukul 12.00 tengah hari (6.00 petang Waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Stansted pada 2.00 petang (Waktu London), kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, Selasa.

Penerbangan pulang, MH 003A, dijadual berlepas dari London, Rabu pada pukul 2.00 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 23 Disember pukul 2.35 pagi.

Lapangan Terbang London Heathrow masih beroperasi dengan jadual penerbangan yang dikurangkan dan penumpang MAS dinasihatkan menyemak status penerbangan mereka sebelum pergi ke lapangan terbang.

Penerbangan MAS menuju ke London yang tertangguh dijangka mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.

"Kami kesal dengan masalah yang dihadapi penumpang akibat daripada penutupan London Heathrow. Kami bekerjasama rapat dengan lapangan terbang itu dan semua pihak berkuasa penerbangan sivil berkaitan bagi mendapatkan lebih banyak hak mendarat dan melakukan apa yang terdaya untuk meringankan keadaan.

"Sebaik sahaja kami menerima kelulusan, jadual penerbangan baharu akan dikemaskinikan dalam laman web," kata Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman.

Penumpang diminta menyemak laman web syarikat penerbangan itu di www.malaysiaairlines.com, atau menghubungi Pusat Panggilan MAS di talian 1300-88-3000 (di Malaysia) atau +603-7843 3000 (di luar Malaysia) atau mengunjungi mana-mana pejabat tiket MAS.

Penumpang juga boleh menyemak status penerbangan di telefon mudah alih mereka dengan mengunjungi flymas.mobi atau BAA Heathrow Airport di http://www.heathrowairport.com/

Para penumpang penerbangan yang terjejas mempunyai pilihan berikut sama ada menukar tempahan penerbangan antara sekarang sehingga 2 Januari, 2011 tanpa sebarang bayaran bagi perjalanan sehingga akhir Mac 2011, bergantung kepada kekosongan tempat duduk bagi jenis tambang yang ditempah atau mendapatkan bayaran balik penuh bagi semua jenis tambang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain