suria

Pasang Alat Had Laju Dan Tali Pinggang Keselamatan Dalam Bas

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa mewajibkan pemasangan alat had laju di semua bas ekspres dan pelancong, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata pemasangan tali pinggang keselamatan juga hendaklah diwajibkan bagi semua bas ekspres dan pelancong kerana kedua-dua alat ini didapati berkesan dalam menyelamatkan nyawa penumpang.

"Jika tali pinggang keselamatan diwajibkan dalam kereta dan kapal terbang, tidak ada sebab kenapa bas ekspres dikecualikan.

"Kos janganlah diambilkira untuk pengusaha bas kerana kita bercakap mengenai nyawa manusia dan analisis manfaat kos boleh dijalankan untuk melihat pengusaha ini boleh mengurus operasi mereka dengan keperluan ini," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Dr Chua berkata satu pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik perlu dirangka tidak lama lagi untuk menyediakan kawalan keselamatan kerana kemalangan tidak boleh dicegah tetapi ia boleh dikurangkan.

Sebuah bas pelancong yang membawa 37 pelancong Thailand dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur terlanggar pembahagi jalan dan terbalik di Km15 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, Isnin, mengorbankan 25 warga negara itu dan dua orang rakyat Malaysia.

Dr Chua berkata kini terdapat 13 agensi kerajaan yang terbabit dalam pengawalan bas ekspres dan dengan begitu banyak agensi terlibat, setiap satu mestilah tahu apa yang patut dilakukan.

"Ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dalam kes bas pelancong, Kementerian Pelancongan juga terbabit, katanya.

"Dengan terlalu banyak agensi terbabit, ia boleh juga membawa kepada birokrasi," kata beliau dan mencadangkan agar satu inkues diadakan.

Katanya semua pengusaha bas ekspres dan pelancong mestilah diminta menyediakan pangkalan data nasional yang mengandungi maklumat mengenai pemandu untuk membanteras pemandu yang mempunyai rekod buruk, atau teruk dan tidak ada lesen memandu.

"Ini adalah manfaat kepada syarikat ini dengan pangkalan data seperti itu boleh menghalang pemandu dengan rekod buruk dari bergerak dari satu syarikat ke syarikat lain dan akhirnya berada di jalan lagi dan akan membantu industri berkenaan ke tahap yang lebih profesional," kata beliau.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye menggesa semua bas ekspres dan pelancong mengadakan satu pendekatan proaktif dalam pengurusan risiko pekerjaan jalan dan membantu mencegah lebih banyak tragedi di jalan raya.

Beliau berkata mereka mesti mengubah sikap dan tabiat pekerja, menyediakannya dengan latihan yang sewajarnya, jangan mengambil pemandu dengan rekod yang buruk dan pastikan hanya kenderaan selamat digunakan.

Katanya kematian akibat kemalangan jalan raya terus berlaku yang membabitkan kenderaan awam seperti ekspres dan pelancong, yang menjejaskan dengan serius keyakinan awam berkaitan pentinganya isu keselamatan.

"Beberapa kemalangan jalan yang membabitkan kematian berlaku melibatkan bas dan kemalangan terbaru semalam, tidak akan berakhir sehingga semua komited pada budaya keselamatan jalan raya.

"Jelas menunjukkan lebih banyak perlu dilakukan untuk memperbaiki keselamatan jalan raya, pemanduan selamat dan sikap pemandu. Majikan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengadakan satu pendekatan proaktif dalam pengurusan risiko pekerjaan jalan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain