KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan bas dua tingkat di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, yang meragut 27 nyawa Isnin, dijangka siap dua minggu lagi.Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, analisis terperinci sedang dijalankan bersama agensi penguat kuasa dan teknikal lain seperti polis, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. "Miros telah dipertanggungjawabkan untuk menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku, kita sedang mengumpulkan maklumat dari kesemua agensi tersebut bagi menjalankan siasatan dalam mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu."Siasatan kini masih dalam peringkat awal, dan hasil siasatan akan diketahui bergantung kepada keadaan, dan kebiasaannya akan selesai dalam (tempoh) kira-kira dua minggu," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata mengikut piawaian, bas dua tingkat tidak sesuai menggunakan laluan sukar, termasuk kawasan berbukit dan bercerun, kerana strukturnya yang lebih tinggi berbanding bas biasa."Bila melalui kawasan berbukit dan bercerun menyebabkan bas berada dalam keadaan yang tidak stabil dan membahayakan keselamatan penumpang. Bas seperti itu hanya sesuai melalui jalan rata," katanya.Sehubungan itu, Ahmad Farhan berkata syarikat dan pengusaha bas perlu mengambil kira kesesuaian serta keadaan bas bagi membawa penumpang ke destinasi tertentu, terutama di kawasan berbukit serta bercerun."Pengusaha bas perlu memilih pemandu yang sesuai untuk memandu bas, selain memastikan bas berada dalam keadaan baik dan destinasi yang ingin dituju perlu bersesuaian dengan bas yang digunakan," katanya.Sementara itu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkatan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk aspek teknikal seperti jalan raya dan fizikal bas, sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kemalangan maut, yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah negara, itu berlaku."Buat masa ini, kita jangan menuding jari kepada sesiapa...kita tengok pada hasil siasatan nanti, siapa dan apa punca kejadian itu," katanya.Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali pula berkata, pihaknya mahu kerajaan mengadakan kursus jangka pendek kepada pemandu bas yang menjurus kepada kemahiran pemanduan."Saya minta kerajaan melatih semula pemandu-pemandu dengan menyertai kursus selama tiga hari untuk tingkatkan kemahiran mereka, termasuk dalam mengendalikan rawatan kecemasan dan mengelakkan kebakaran," katanya.Beliau berkata selain itu, kerajaan perlu mengkaji cara sekolah memandu mengajar mereka yang mengambil lesen pemanduan bas agar perkara itu tidak dianggap remeh oleh pemandu bas."Kerajaan perlu menitikberatkan hal ini agar pemandu bas yang baru dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna, dan kejadian kemalangan yang melibatkan bas yang berlaku sebelum ini, menjadi iktibar kepada mereka," katanya.Mengenai kemalangan ngeri yang berlaku semalam, Mohamad Ashfar meminta Jabatan Pengangkutan Jalan meletakkan tanda amaran iaitu "Kawasan Hitam" di lokasi berkenaan kerana tragedi seumpamanya sering berlaku di kawasan bercerun seperti itu."Sebelum ini, pernah berlaku kejadian yang sama, jadi agensi yang berkaitan perlu mengambil inisiatif untuk mengatasinya, termasuk meletakkan tanda amaran, agar pemandu bas lebih berhati-hati ketika melalui kawasan itu," katanya.Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan Malaysia Datuk Zainal Rampak berkata cadangan kerajaan sebelum ini, iaitu mewujudkan jalan pintas ke Simpang Pulai, perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kemalangan daripada terus berlaku di kawasan tersebut."Sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia mempercepatkan perjalanan pengguna jalan raya ke Simpang Pulai, selain dapat mengelak daripada terus melalui kawasan yang bercerun itu," katanya.Sementara itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini menjadikan keselamatan di jalan raya sebagai keutamaan sebelum ia beroperasi sepenuhnya tahun depan.Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan berkata SPAD telah berbincang dengan pengusaha bas dan agensi kerajaan berkaitan bagi menyelesaikan isu yang menjadi punca berlakunya pengabaian keselamatan dalam industri berkenaan."Baru-baru ini, SPAD mengadakan perbincangan meja bulat mengenai keselamatan bas ekspres dan bas persiaran yang dihadiri pengusaha bas berkenaan serta agensi kerajaan berkaitan."Sesi perbincangan membolehkan semua pihak mengenal pasti beberapa punca kemalangan bas dan mencari jalan bagi mengatasinya," katanya.Syed Hamid berkata SPAD akan menggubal dasar, undang-undang dan peraturan bagi memastikan standard keselamatan perkhidmatan pengangkutan awam dikekalkan."Sebagai agensi yang bertanggungjawab menggubal dasar, perancangan, peraturan dan menguatkuasakan undang-undang berhubung pengangkutan awam darat, kami tidak akan lepas tangan dalam usaha mewujudkan satu keadaan yang selamat kepada pengguna pengangkutan awam," katanya.Kemalangan maut itu menyebabkan 25 pelancong warga Thailand dan dua rakyat Malaysia terbunuh selepas bas persiaran yang mereka naiki terbalik ke dalam longkang di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada 11.40 pagi Isnin. - BERNAMA