suria

Kerajaan Dijangka Main Peranan Aktif Kembangkan Hab Teknologi Hijau

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memainkan peranan yang berkesan bagi memastikan Teknologi Hijau akan berkembang daripada peringkat awal kepada pertumbuhan sepenuhnya, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

"Dalam hubungan ini, kementerian akan melakukan segala yang terdaya bagi menggalakkan pertumbuhan enterpris komersil dan perindustrian dan bersaing dalam teknologi hijau," katanya.

"Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia akan memastikan penyediaan lima kunci utama faktor kejayaan pertumbuhan teknologi hijau," katanya pada pelancaran Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Ekologi Malaysia (IGEM) 2011 serta majlis makan malam penghargaan IGEM 2010 di sini malam Selasa.

Antaranya ialah membolehkan undang-undang dan peraturan yang menyediakan pelaburan perniagaan dan kestabilan bagi memastikan kejayaan pembaharuan sektor itu dan mendapatkan keyakinan para pelabur, pengguna dan pihak berkepentingan.

Kerajaan juga perlu mempunyai modal insan yang berkualiti, mahir, berpengetahuan, kreatif dan berinovatif daripada hanya mempunyai bilangan tenaga manusia layak yang mencukupi, kata Chin.

"Para pekerja itu perlu diberi ganjaran yang mencukupi bagi menarik, memberi motivasi dan melatih semula modal insan dari dalam negara dan seberang laut," katanya.

Chin berkata perundingan juga merupakan satu cara. Pihak berkepentingan dari pelbagai sektor perlu diberi peluang untuk mengulas atau menjelaskan berkaitan keputusan yang boleh memberi kesan terhadap mereka sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.

Katanya kementeriannya telah diarahkan untuk melihat kemungkinan keperluan untuk mengadakan sesi dialog mengenai teknologi hijau yang tetap dengan pihak industri.

Chin berkata kepentingan pengguna juga merupakan satu faktor kejayaan di mana kerajaan perlu memastikan kerangka perundangan dan peraturan yang menyokong hak pengguna selain menimbulkan kesedaran umum.

Yang terakhir ialah insentif, katanya.

Kerajaan, dari semasa ke semasa akan mengkaji insentif dan instrumen yang sesuai bagi memastikan pertumbuhan teknologi hijau yang sistematik dan mampan di negara ini.

Sambil kerajaan akan memudahkan agenda pertumbuhan teknologi hijau, Chin berharap peserta industri akan menggandakan usaha masing-masing bagi menceburi teknologi hijau dengan bersungguh-sunguh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain