suria

Kementerian Kesihatan Nafi Catu Ubat Untuk Pesakit

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan kononnya hospital kerajaan membuat catuan bekalan ubat kepada pesakit bagi menjimatkan kos perubatan.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan di kementerian itu, Datuk Dr Azmi Shapie berkata kerajaan tidak pernah mengamalkan konsep catuan ubat untuk pesakit di semua hospital walaupun ia mengambil langkah berjimat cermat mengurangkan kos di semua kementerian dalam menangani kegawatan ekonomi global.

"Kementerian Kesihatan tidak berkompromomi dalam memberi kemudahan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan terbaik, walaupun dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak stabil," katanya selepas merasmikan Seminar Stem Cell Research And Therapy bagi pegawai kementerian itu di peringkat negeri di Kolej Kejururawatan di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai catuan ubat di hospital kerajaan kesan kerajaan mengurangkan kos di semua kementerian, termasuk Kementerian Kesihatan.

Mengenai seminar itu, Dr Azmi berkata ia bertujuan memperkenalkan buku-buku garis panduan/piawaian kebangsaan yang dihasilkan Kementerian Kesihatan dan menjadi tanggungjawab pakar-pakar dan pengguna yang terlibat dalam perkhidmatan transplantasi sel stem.

Selain itu, ia juga untuk menyampaikan maklumat terkini dari aspek penyelidikan dan isu teknikal sel setem, konsep dan aplikasi sel setem serta etika kontroversi rawatan.

Menurutnya, pihak kementerian berkenaan kini dalam siri menjelajah ke seluruh negara bagi menerangkan isu itu melalui seminar sedemikian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain