suria

Jepun Setuju Bekerjasama Majukan Pelan Tindakan Putrajaya Dan Cyberjaya

PUTRAJAYA: Jepun bersetuju bekerjasama memajukan pelan tindakan untuk Putrajaya dan Cyberjaya sebagai perbandaran printis yang menekankan konsep Komuniti Bestari dalam Teknologi Hijau menjelang 2025.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata Pertubuhan Pembangunan Tenaga Baru dan Teknologi Perindustrian (NEDO), sekretariat bagi Persekutuan Komuniti Bestari Jepun (JSCA) dan Sumitomi Mitsui Bank Corporation bersetuju membantu Malaysia dalam konsep ini.

"Malaysia mengalu-ngalukan pemindahan pengetahuan, bantuan dan nasihat kepakaran daripada rakan kongsinya di Jepun, bukan hanya dalam konsep Komuniti Bestari tetapi juga dalam bidang tertentu lain dalam Teknologi Hijau," katanya pada ceramah di majlis makan tengah hari sempena Bengkel Komuniti Bestari Malaysia-Jepun di sini, Selasa.

Kerajaan Malaysia sangat berminat dalam konsep Komuniti Bestari yang dimulakan oleh Jepun sama seperti konsep Perbandaran Hijau, kata beliau.

Kerajaan Jepun memperkenalkan Komuniti Bestari yang menekankan Teknologi Hijau di mana pengeluaran karbon diosida pada tahap serendah-rendahnya dan penggunaan tenaga sedikit mungkin.

Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Loo Took Gee berkata bengkel sehari itu hari ini diharap dapat memberikan lebih banyak idea untuk meneruskan usaha membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai bandar Teknologi Hijau.

Selain itu banyak perkara yang boleh dipelajari mengenai konsep Teknologi Hijau yang diamalkan di Jepun antaranya cara menjimatkan tenaga dalam bangunan, kata beliau kepada pemberita di bengkel itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain