suria

Diskaun Tol 60 Sen & 20 Sen Sempena Hari Krismas

KUALA LUMPUR: Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) akan memberikan diskaun tol 60 sen bagi pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong dan 20 sen di Lebuhraya Sprint dalam tempoh 24 jam, mulai pukul 12.01 tengah malam hari Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi dalam satu kenyataan berkata, diskaun bersempena hari Krismas itu adalah untuk dinikmati oleh kenderaan dari semua kelas.

Sementara itu, sempena Konsert Gemuruh Double Trouble 2010 Sabtu ini, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengumumkan akan melanjutkan masa perkhidmatan bas Syarikat Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan juga Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen LRT Kelana Jaya bagi kemudahan penonton.

Pengurus Besar Komunikasi Kumpulan Prasarana, Ebi Azly Abdullah berkata, perkhidmatan LRT itu akan dilanjutkan sehingga 12.15 tengah malam, manakala bagi bas pengantara RapidKL, masa perkhidmatan akan dilanjutkan mengikut laluan masing-masing.

Antara laluan bas pengantara yang akan dilanjutkan termasuk Sunway Lagoon ke LRT Kelana Jaya, U62 Klang-Sunway Pyramid, U63 Subang Mewah-Pasar Seni (melalui Persiaran Kewajipan), U63 Subang Mewah-Pasar Seni (melalui Persiaran Tujuan) dan U76 Subang Parade-KL Sentral.

"Penonton perlu menunjukkan keratan tiket konsert untuk membolehkan mereka menaiki bas pengantara tersebut dengan percuma," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, waktu operasi bagi perkhidmatan bas laluan lain dan stesen-stesen LRT serta KL Monorail yang lain akan berakhir seperti biasa, katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Helpline di 03-7888 2585 atau mengikuti twitter @MYrapidKL atau melayari web di alamat www.rapidkl.com.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain