suria

Tiada Cadangan Beri Kuasa Polis Bantuan Kepada Guru Disiplin

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk memberi kuasa polis bantuan kepada guru-guru disiplin di sekolah bagi membendung jenayah di sekolah buat masa ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata bagaimanapun, pihak polis telah menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah yang berperanan menekankan kepada pelajar tentang senario jenayah semasa dan membantu pihak sekolah dalam mengawal masalah disiplin pelajar.

"Pegawai ini juga berperanan untuk memberi nasihat dan kesedaran serta menyediakan maklumat-maklumat terkini seperti risalah-risalah, ceramah, aktiviti sosial, pameran dan kaunseling tentang kejadian jenayah semasa kepada pihak sekolah," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Fatimah Hamat pada persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Fatimah ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memberikan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin di sekolah bagi membendung pelbagai masalah disiplin pelajar. - BERNAMA

Artikel Lain