suria

Remaja Lelaki, Bapa Tiri Ditahan Bantu Siasatan Pembunuhan Pelajar Di Batu Pahat

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang remaja lelaki dan bapa tirinya semalam bagi membantu siasatan pembunuhan seorang pelajar perempuan yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit, di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata remaja berusia 14 tahun itu ditahan pada 6.15 petang semalam di Kampung Parit Singgahan, Seri Medan, Batu Pahat manakala bapa tirinya, seorang buruh berumur 44 tahun, ditahan pada 8.45 malam semalam, di Kampung Tebing, Tongkang Pechah.

Kedua-dua mereka direman sehingga Isnin depan. Penahanan mereka menjadikan lima orang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes itu.

Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dijumpai mati tersembunyi di bawah timbunan daun-daun kelapa sawit pada 5 petang Jumaat lepas dengan satu kesan tikaman di badan.

Dia dipercayai dibunuh tidak jauh dari rumahnya sebelum diheret 50 meter ke kawasan ladang itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra, Tongkang Pechah itu dilaporkan hilang pada Rabu lepas apabila tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan rakan-rakannya. - BERNAMA

Artikel Lain