suria

Pusat Majukan Pulau Pinang Sebagai Hab Terpilih - Najib

GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan akan memajukan Pulau Pinang sebagai sebuah hab yang terpenting di rantau ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin.

Perdana Menteri berkata pembangunan di Pulau Pinang akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan demi kepentingan negara.

"Kerajaan Persekutuan akan menjadikan Pulau Pinang satu hab pilihan di rantau ini. Beberapa strategi pembangunan untuk merangsang ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan sedang membawa kita ke arah matlamat ini," katanya pada upacara memecah tanah projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini, Yang turut dihadiri Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Najib berkata 10 projek infrastruktur yang dikenal pasti termasuk pembesaran lapangan terbang itu, Pelabuhan Pulau Pinang dan Jambatan Pulau Pinang, pembinaan jambatan kedua dan pengwujudan koridor raya multimedia.

"Kesemua inisiatif ini bukan saja menggerakkan pelbagai aktiviti ekonomi tetapi juga menyokong objektif negara untuk meningkatkan pendapatan daripada pelancongan daripada RM53 bilion pada 2009 kepada RM168 bilion menjelang 2020," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Pulau Pinang mempunyai banyak kelebihan yang membolehkannya menjadi sebuah hab bagi koridor utara dan segi tiga pertumbuhan melibatkan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

"Contohnya, Pulau Pinang menawarkan kepadatan ekonomi tertinggi dan jarak terdekat untuk pasaran bagi sebuah bandar raya dalam segi tiga pertumbuhan ini," katanya.

Projek pembesaran lapangan terbang itu, yang bernilai RM250 juta dan dijadual siap pada 2012, disifatkan oleh Najib sebagai satu lagi inisiatif kerajaan pusat untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan di Pulau Pinang sebagai pemangkin pertumbuhan industri pelancongan.

Katanya daripada sudut komersial, lapangan terbang moden pada masa ini bukan lagi hanya menjadi tempat untuk mengendalikan penerbangan tetapi merupakan satu platform untuk menjana aktiviti komersial.

Beliau berkata dalam dunia yang mudah dihubungkan sekarang, kemampuan menawarkan perkhidmatan penerbangan berkualiti tinggi akan menjadi pemangkin untuk menarik perdagangan dan pelaburan ke sesebuah negara, dan ini akan dapat menyokong usaha penjanaan kekayaan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Najib berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas telah menyaksikan pertumbuhan trafik yang memberangsangkan dan telah menerima lebih daripada 3.4 juta penumpang sehingga September tahun ini, meningkat sebanyak 30.5 peratus dalam jangka masa yang masa pada 2009.

"Oleh itu saya pasti projek naik taraf lapangan terbang ini membolehkan Pulau Pinang lebih maju dari segi pertumbuhan ekonomi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain