suria

Polis Tahan 10 Lelaki Terlibat 46 Kes Samun, Ragut, Curi Motosikal

JOHOR BAHARU: Polis berjaya menumpaskan kumpulan "Kangkar" yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 46 kes samun, ragut dan curi motosikal di sekitar bandar raya ini selepas menahan 10 anggota kumpulan berkenaan, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dua daripada mereka ditahan di sebuah rumah di Kampung Kangkar Tebrau, di sini, manakala lapan yang lain di sekitar bandar raya ini.

"Hasil siasatan yang dibuat, polis merampas sembilan motosikal yang dipercayai hasil curi, sebatang besi berbentuk T, tujuh batang besi tajam dan dua besi berbentuk L yang ditajamkan hujungnya yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohd Mokhtar berkata siasatan mendapati dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua 10 suspek yang berumur 18 hingga 27 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak perempuan pada Khamis lepas, yang dipercayai menjalankan penipuan.

Beliau berkata mereka yang menaiki sebuah kereta Proton Waja ditahan di Jalan Wong Ah Fook di sini.

Polis menemui pelbagai barangan kemas termasuk rantai, gelang dan anting-anting, wang tunai berjumlah RM2,100, seutas jam tangan, sebuah telefon bimbit dan dua buku akaun bank daripada mereka, katanya.

Katanya, siasatan mendapati mereka terlibat dalam tujuh kes penipuan di bandar raya ini dan lelaki berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah lampau. - BERNAMA

Artikel Lain