suria

Kerajaan Beri Insentif Kepada Doktor Muda Bertugas Di Luar Bandar

GEORGE TOWN: Golongan doktor muda yang sanggup bertugas ke luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak selama dua tahun akan diberikan insentif untuk bertukar ke kawasan pilihan mereka sendiri selepas tamat tempoh itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, insentif itu sebagai usaha kerajaan mengalakkan lebih ramai golongan doktor muda berkhidmat di kawasan luar bandar di seluruh negara.

"Memang banyak kes doktor-doktor muda sering mengelak bertugas di luar bandar jadi kita beri insentif kepada mereka, iaitu mereka perlu berkhidmat minimum dua tahun di kawasan luar bandar dan selepas itu boleh berpindah ke mana-mana kawasan yang mereka mahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa laporan akhbar mengenai kebanyakan doktor muda sering mengelak untuk bertugas di hospital luar dari Lembah Klang atau ibu negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican sebelum ini dipetik sebagai berkata, sikap sedemikian menyukarkan kerajaan menyediakan perkhidmatan perubatan secara saksama kepada rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain