suria

Kementerian Pelancongan Siasat Syarikat Bas Terbabit Kemalangan Di Simpang Pulai

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan telah memulakan siasatan ke atas syarikat SK Murni Tours & Travel Sdn Bhd termasuk mengemukakan surat tunjuk sebab bagi mendapatkan penjelasan tentang kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Kawai, Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada pukul 11.40 pagi Isnin.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan dalam satu kenyataan berkata, siasatan terperinci perlu dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

"Tindakan penggantungan lesen atau pembatalan lesen bas persiaran akan ditentukan selepas mengambil kira hasil siasatan yang dijalankan oleh semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menyiasat kemalangan itu.

"Bas persiaran bernombor pendaftaran AFX 2266 milik syarikat SK Murni Tours & Travel telah didaftarkan sebagai kenderaan pelancongan pada 30 November 2009 dan tempoh sah lesen bas persiaran adalah sehingga 30 November 2012," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kementerian melahirkan rasa simpati ke atas mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu dan keluarga mereka.

Polis setakat ini telah mengeluarkan senarai nama dua rakyat Malaysia dan 24 rakyat Thailand daripada 27 orang kesemuanya yang terbunuh dalam kemalangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain