suria

KEDA Peruntuk Hampir RM40 Juta Pengurusan JKKKP Tahun Depan

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) menyediakan peruntukan berjumlah RM39.1 juta bagi perbelanjaan pengurusan 1,896 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Kedah tahun depan.

Peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding peruntukan tahun ini yang berjumlah kira-kira RM30 juta, adalah berikutan kenaikan elaun Pengerusi JKKKP daripada RM450 kepada RM800 sebulan serta kenaikan elaun menghadiri mesyuarat kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) daripada RM30 kepada RM50 berkuat kuasa 1 Januari ini.

Pengerusi Keda, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata daripada jumlah RM39.1 juta itu, sebanyak RM22.75 juta adalah bagi pembayaran elaun bulanan Pengerusi dan Setiausaha JKKKP sementara selebihnya adalah elaun mesyuarat kepada AJK.

Selain Pengerusi yang akan menerima elaun sebanyak RM800 sebulan pada tahun depan, Setiausaha juga akan menerima elaun bulanan RM200 sementara setiap AJK yang menghadiri mesyuarat bulanan layak mendapat elaun sebanyak RM50 setiap kali hadir.

"Dengan jumlah yang begitu besar disediakan kerajaan, saya mahu melihat JKKKP melakukan usaha berterusan dan kreatif mengerakkan kawasan masing-masing.

"Saya mahu mereka ke hadapan dalam apa jua perkara di kawasan mereka dan jangan hanya melihat pihak lain aktif sedangkan kita tidak melakukan apa-apa," kata Ahmad Bashah kepada pemberita selepas menyampaikan elaun JKKKP bagi kawasan Parlimen Alor Setar, di sini malam tadi.

Seramai 96 Pengerusi dan Setiausaha JKKKP dalam Parlimen Alor Setar menerima elaun masing-masing bagi bulan Ogos hingga Dis tahun ini yang kesemuanya berjumlah RM312,000.

Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah berkata Keda juga menetapkan sasaran meningkatkan bilangan JKKKP yang mengadakan mesyuarat bulanan kepada 80 peratus berbanding hanya 30 peratus daripada kesemua 1,896 JKKKP yang mengadakan mesyuarat pada tahun ini.

"Keda akan memantau perkembangan mesyuarat berkenaan dan tindakan tegas termasuk menukar Pengerusi akan diambil terhadap mereka yang masih tidak berfungsi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain