suria

Giat Mara Disasar Lahirkan 8,000 Usahawan Mikro

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan kewujudan sekurang-kurangnya 8,000 usahawan mikro menerusi institusi Giat Mara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata, peruntukan tambahan RM40 juta sudah diluluskan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) khusus bagi tujuan merealisasikan hasrat itu.

Beliau berkata, kerajaan pada dasarnya tidak mahu Giat Mara hanya mengambil peranan untuk melatih sahaja, kerana apa yang penting adalah hasilnya, iaitu melahirkan lebih ramai usahawan yang dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

"Jadi, soal dia hendak bekerja dengan jabatan kerajaan atau dengan kilang-kilang, sudah tidak timbul lagi selepas ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Produk Kemahiran Giat Mara Wilayah Persekutuan di sini, Isnin.

Menurutnya sehingga kini jumlah pelatih yang menamatkan latihan di Giat Mara Wilayah Persekutuan adalah seramai 3,193 orang dan daripada jumlah itu 137 orang sudah menjadi usahawan.

Hasan berkata, walaupun jumlah itu mungkin masih kecil tetapi sebenarnya ia merupakan satu kejayaan dan perkembangan yang baik untuk Giat Mara, kerana apa yang penting ialah para usahawan perlu mengubah sikap ke arah yang lebih positif dan dinamik serta berminat untuk menambah ilmu dalam pelbagai aspek pengurusan perniagaan.

Terdahulu Pengurus Giat Mara Wilayah Persekutuan Jamaludin Ali yang turut hadir pada karnival hari ini berkata dua pusat Giat Mara akan ditubuhkan di kawasan Batu dan Wangsa Maju tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan Giat Mara di Wilayah Persekutuan 12 buah.

Karnival tiga hari yang bermula hari ini bertujuan mempromosi kemahiran pelatih-pelatih Giat Mara Wilayah Persekutuan dengan menunjukkan hasil projek inovasi dan produk hiliran yang bakal dikomersialkan. - BERNAMA

Artikel Lain