suria

Dalam bola kita bersatu...

Penyokong tegar Malaysia dengan kain pemidang besar.
Penyokong tegar Malaysia dengan kain pemidang besar.
Penyokong tegar Malaysia dengan kain pemidang besar.

RABU lalu penulis telah bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF antara pasukan kebangsaan dengan Vietnam.

Perlawanan tersebut bermula pukul 8 malam tetapi penulis dan anak-anak tiba setengah jam lewat.

Lewat kerana semua laluan masuk ke Bukit Jalil pada hari tersebut mengalami kesesakan yang amat teruk kerana perlawanan bola tersebut.

“Encik kena datang awal sikit lain kali...,” kata seorang pegawai polis trafik yang mengawal laluan masuk ke kawasan letak kereta stadium kepada penulis.

Nampaknya penulis mengambil mudah akan perkara ini. Penulis fikir, keluar dua jam lebih awal sudah memadai.

Rupa-rupanya masih tidak memadai untuk sampai ke stadium tepat pada masanya.

Kami sebenarnya hampir berputus asa dan mahu sahaja berpatah balik kerana memikirkan di mana lagi hendak meletak kenderaan kerana di mana-mana sahaja semuanya dipenuhi dengan kereta para peminat bolasepak Malaysia.

Hairan. Hairan kerana dalam kelesuan kancah bolasepak tempatan, orang masih minat untuk turun ke stadium memberi sokongan moral kepada pasukan kebangsaan kita.

Apakah ini satu petanda baik atau sekadar hendak menghabiskan masa menjerit di dalam stadium untuk melepaskan geram.

Bagaimanapun penulis dan anak-anak memutuskan untuk meneruskan misi kami. “Alang-alang dah sampai di hadapan stadium, kita cari parking sampai dapat. Dapat tengok separuh masa kedua pun jadilah,” kata anak kepada penulis.

Demi untuk tidak menghampakan harapan mereka, kehendak tersebut penulis penuhi.

Sebaik sahaja berjaya membuat pusingan semula di hadapan pintu masuk ke kawasan letak kereta “C” Stadium Nasional Bukit Jalil, nasib memang menyebelahi kami kerana berjaya mencari ruang yang cukup-cukup untuk menempatkan kereta kami tanpa menganggu laluan orang lain atau menganggu kenderaan lain keluar-masuk.

Langsung kami bergegas berlari-lari anak menuju ke pintu utama stadium. Dari sayup kedengaran gegak gempita penonton bersorak seolah-olah telah berlaku jaringan gol tapi entah pasukan mana yang menjaringkan gol dahulu tidaklah kami ketahui.

Apabila sampai di pintu utama yang kami sangkakan pintu masuk untuk tiket kami, marsyal telah mengarahkan kami ke pintu lain.

“Tiket encik ini di pintu merah ya encik...” katanya dengan penuh sopan sambil mengarahkan kami menuju ke arah kanan stadium.

Dari situ kami bertiga sekali lagi berlari-lari anak menuju ke arah pintu tersebut.

Dan sekali lagi kedengaran sayup-sayup sorakan para penonton dari dalam stadium. Sambil melihat wajah masing-masing kami tiga beranak mengorak langkah lebih deras.

Setibanya di pintu merah, penulis pun menghulurkan tiket kami kepada marshal. Tiket kami dikoyak kemudian diimbas menggunakan mesin elektronik untuk memastikan tiket itu tiket asli bukan tiket palsu.

Kemudian kami dilorongkan ke laluan kecil berpalang untuk masuk ke dalam kawasan stadium.

Dari sana kami tidak lagi mencari tempat yang sesuai sebaliknya dengan segera membeli minuman dan snek lalu masuk saja di mana yang boleh untuk menyaksikan perlawanan itu.

Kami bernasib baik kerana mendapat tempat yang selesa dengan pandangan yang menarik.

Di sebelah penulis ada seorang ayah yang membawa anak kecilnya yang masih di sekolah rendah.

Di belakang penulis kelihatan seperti seorang grago. Di hadapan penulis, abang-abang Jawa mungkin dari Kapar atau Klang dan selang beberapa baris dari tempat duduk penulis ada pemuda-pemuda Melayu, Cina dan India duduk sebaris dengan kepala mereka terikat bandana yang tertulis “Malaysia.”

Perlawanan separuh masa pertama sudah menghampiri waktunya. Dan kedua-dua pasukan masih terikat dengan keputusan 0-0.

Dalam stadium tidak penuh tetapi mengikut anggaran penulis adalah lebih kurang 50,000 orang lebih peminat setia Malaysia bersama segelintir penyokong Vietnam mengisi setiap ruang kosong yang ada. “Orang tak penuh stadium tetapi jalan nak masuk ke stadium jam...” rungut anak penulis.

Tidak lama kemudian wisel penamat separuh masa berbunyi. Bila masuk separuh masa kedua, penulis berkata kepada anak-anak; “Semua yang datang ke stadium ni bukan hendak menyaksikan aksi ala-Ronaldo atau Messi tetapi yang mereka hendak saksikan ialah persembahan yang menghiburkan dan semangat juang yang kental.”

Yang benar, pasukan Malaysia kelihatan seperti sekadar “boleh tahan” sahaja tetapi malam itu untuk sekian lamanya penulis tidak pernah menyaksikan persembahan pasukan kebangsaan yang penuh dengan semangat juang dan disiplin yang tinggi terutama sekali kepada barisan pertahanannya yang rata-rata dikutip dari pasukan bawah 23 tahun negara.

Mereka bermain tanpa aksi gelecik yang luar biasa tetapi pada masa yang sama mereka juga tidaklah menghampakan.

Hantaran-hantaran mereka kemas dan dua jaringan gol yang mereka hasilkan khususnya gol pertama boleh dipuji sebagai “cantik” dan menghiburkan.

Pendek kata malam itu mereka bermain untuk menang bukan bermain sekadar melepaskan batuk di tangga.

Dan kini tiba saat yang dinanti-nantikan. Apabila stadium bergegar dengan jaringan gol yang pertama, tiba-tiba terpapar satu kain pemidang besar yang berbunyi “Tanah Tumpahnya Darahku.”

Dalam hati penulis terdetik, siapakah peminat gila pasukan kebangsaan yang sanggup berhabis duit menempah kain pemidang gergasi itu?

Apabila Safee Sali meluru ke depan dan menanduk bola ke gawang gol, Melayu, Cina, India, Grago, Sikh, Serani melonjak-lonjak berpelukan sedangkan mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Malam itu mereka bersatu tanpa ada batasan kaum atau mungkin saja disatukan kerana bola.

Demi detik dan masa, jika politik tidak dapat menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini, mungkin bola boleh...

SELAMAT TAHUN BARU 2011

Artikel Lain