suria

Beruang Menyerang Mungkin Mahu Lindungi Anak

JELI: Beruang yang menyerang seorang penoreh getah di Kampung Bukit Jong di sini petang Selasa lalu mungkin kerana ia mahu melindungi anak beruang yang baru dilahirkan di kawasan tersebut.

"Kemungkinan ketika kejadian, ada anak beruang yang baru dilahirkan di kawasan berkenaan menyebabkan beruang itu menjadi terancam dan cemas lalu menyerang manusia yang ada berhampiran.

"Bagaimanapun ianya merupakan satu kemungkinan dan pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut," kata Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Pazil Abdul Patah kepada Bernama selepas membuat pemantauan di kawasan kejadian, Isnin.

Dalam kejadian itu, Osman Salleh, 35, cedera di kaki kanan akibat digigit beruang Malayan Sun Bear atau beruang madu ketika menunggang motosikal untuk pulang dari kebunnya.

Beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tanah Merah.

Menyifatkan kejadian tersebut sebagai jarang berlaku, Pazil berkata pihaknya akan mengenal pasti tindakan seterusnya bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.

Bagaimanapun, katanya kejadian itu berlaku di kawasan hutan yang sememangnya menjadi habitat hidupan liar dan ekoran serangan itu orang ramai perlu lebih berhati-hati apabila melalui kawasan hutan. - BERNAMA

Artikel Lain